suria

Atlet Negara Wabak Ebola Dilarang Sertai Sukan Olimpik Belia

Sukan Olimpik Belia di Nanjing bermula Sabtu.
ZURICH: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan larangan terhadap atlet muda dari negara yang dijangkiti wabak Ebola di Afrika Barat daripada menyertai acara tertentu pada Sukan Olimpik Belia di Nanjing, China.

Menurut IOC dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Belia Nanjing dalam satu kenyataan pada Jumaat, atlet negara terlibat itu tidak akan dibenarkan menyertai acara melibatkan sukan pertarungan atau di kolam renang bagi mengelak kemungkinan risiko jangkitan.

"Peraturan itu akan menyebabkan tiga atlet daripada negara rantau berkenaan tidak dibenarkan bertanding pada acara tersebut," kata kenyataan tersebut.

Pada masa sama, atlet lain dari negara dijangkiti wabak Ebola perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan penilaian fizikal sepanjang sukan itu berlangsung.

Kejohanan Sukan Olimpik Belia itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

Jumlah kematian disebabkan virus Ebola sehingga Rabu lalu ialah 1,069 orang dan majoritinya terdiri daripada rakyat Guinea, Sierra Leone dan Liberia, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia. 


Sukan Olimpik Belia, Ebola

Artikel Sebelum

Artikel Lain