suria

Kerap Berlatih, Kerah Tenaga Punca Pemain Cedera - Verheijen

Van Gaal bersama Shaw pada sesi latihan Man United sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana Inggeris.

LONDON: Bekas Penolong Jurulatih Manchester United, Raymond Verheijen mendakwa kecederaan yang dialami pemain pertahanan pasukan itu, Luke Shaw disebabkan tindakan pengurus baharu, Louis Van Gaal yang terlalu mengerah tenaga anak buahnya pada sesi latihan.


Kekerapan mengadakan latihan juga dikatakan antara punca kecederaan menimpa pemain United itu.

Berikutan itu, Shaw mungkin terpaksa diketepikan kerana kecederaan hamstring dan tidak akan beraksi pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris bertemu Swansea City, Sabtu.

Walaupun menganggap Van Gaal sebagai pilihan tepat untuk United, tetapi Verheijen menganggap bekas jurulatih skuad kebangsaan Belanda itu tidak cekap mengendalikan pasukan itu.

“Taktik Van Gaal memang hebat berbanding jurulatih lain, tetapi dia lemah daripada segi perancangan pada sesi latihan.

“Kes Luke Shaw adalah kemuncak kepada krisis kecederaan yang menimpa pemain United pada aksi pra musim kerana terlalu banyak menjalani latihan,” katanya.

Verheijen mempersoalkan mengapa Shaw memendekkan cuti rehat selepas Piala Dunia dan kembali ke aksi pramusim lebih awal.

Van Gaal mendakwa pemain itu tidak cergas pada aksi pramusim di Amerika Syarikat.

Verheijen juga mendakwa Van Gaal menggunakan pendekatan sama iaitu mahukan pemain United terus mengharungi sesi latihan hingga menyebabkan ramai yang berdepan masalah kecederaan, seperti mana yang berlaku terhadap pemain Belanda sebelum bermula saingan Piala Dunia di Brazil.

“Ketika persiapan ke Piala Dunia, pemain Belanda perlu menjalani latihan berat hingga sering berdepan kecederaan dan ketika di United, di awal kehadiran Van Gaal, pendekatan sama digunakan," katanya.

Musim lalu Verheijen turut mengkritik pendekatan latihan bekas pengurus United, David Moyes selepas penyerang Belanda, Robin van Persie ditimpa kecederaan.


Louis Van Gaal, Luke Shaw

Artikel Lain