suria

Bedah Siasat Kaji Punca Gagal Capai Sasaran Emas Di Komanwel

Datuk M. Saravanan
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kegagalan atlet Malaysia mencapai sasaran tujuh pingat emas pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland. 

Timbalan Menterinya Datuk M. Saravanan berkata bedah siasat itu perlu dilakukan sebelum pemilihan atlet ke Sukan Asia yang dijadual berlangsung dari 18 September hingga 27 Oktober di Incheon, Korea Selatan bagi mengelak ia berulang.

"Kita mahu melihat jika ada kesilapan atau kekurangan dalam pemilihan atlet pada Sukan Komanwel dan jika berlaku demikian, kita boleh memperbaiki kesilapan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media mengenai penganjuran taklimat berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, Isnin. 

Ditanya sekiranya beliau berpuas hati dengan pencapaian enam pingat emas pada temasya itu, Saravanan berkata beliau yakin atlet Malaysia telah mencuba sebaik mungkin, namun rezeki tidak memihak kepada mereka. 

"Atlet telah berusaha, namun gagal kerana ada yang lebih baik daripada mereka dan kita tidak akan berputus asa dan akan mencuba lebih baik di masa hadapan," katanya. 

Malaysia mengakhiri temasya sukan kedua terbesar dunia itu di tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam gangsa. 

Pingat emas disumbangkan menerusi acara badminton, skuasy, acara terjun dan angkat berat. 

Mengulas mengenai penganjuran taklimat GST, Saravanan menyeru supaya lebih ramai ahli perniagaan dan usahawan India mengambil peluang menyertai program seumpamanya supaya mereka mendapat penerangan yang tepat sebelum pelaksanaannya pada 1 April 2015. 

Taklimat anjuran bersama Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu akan diadakan pada 16 Ogos ini, ekoran kesedaran dan pemahaman mengenai GST dalam kalangan usahawan India masih belum mencapai tahap memuaskan.

GST akan dilaksanakan mulai 1 April, 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Taklimat itu dijangka akan dihadiri 500 peserta dan akan dibahagi kepada dua sesi, iaitu sesi pengenalan secara umum dan sesi terperinci sektor terpilih seperti perniagaan makanan dan perkhidmatan yang banyak diceburi usahawan India.

Mereka yang berminat menyertai taklimat berkenaan boleh melayari www.seed.org.my atau menghubungi 019-2839009 atau 013-3979009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain