suria

Hoki: Dhaarma Sudah Kenal Pasti Pemain Ke Incheon

GLASGOW: Jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui sudah mengenal pasti barisan pemain untuk dibawa ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bermula September ini.

Muhammad Dhaarma berkata demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan pasukan tuan rumah, Scotland 2-1 pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan Sukan Komanwel di Stadium Hoki Nasional Glasgow, Sabtu.

Dhaarma turut memuji persembahan positif yang dipamerkan skuad negara meskipun berdepan kritikan hebat ekoran prestasi hambar dalam aksi Kumpulan B.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan ketika menentang Scotland, ini kerana menentang pasukan tuan rumah bukan satu tugas yang mudah tambahan lagi tekanan semakin tinggi selepas tewas kepada Trinidad and Tobago 2-4.

"Bagaimanapun anak-anak buah saya menunjukkan moral yang begitu baik dengan memenangi perlawanan ini. Apa yang pasti saya telah mengenal pasti pemain untuk ke Sukan Asia," katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai kemorosotan prestasi skuad hoki negara, Dhaarma menegaskan kritikan hebat terhadapnya adalah tidak adil memandangkan Sukan Komanwel merupakan platform pemilihan pemain ke Sukan Asia.

"Tidak adil saya dikecam, jika benar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu bersaing untuk tempat keempat atau kelima kita seharusnya menghantar skuad utama bukannya pasukan kedua.

"Jika diikutkan, pencapaian pasukan tahun ini lebih bagus berbanding empat tahun lepas. Di India, skuad hoki yang senior meraih kedudukan kelapan,"katanya.

hoki, sukan komanwel

Artikel Lain