suria

Louis van Gaal Dimaklumkan Dia Boleh Pecahkan Rekod Dunia

Van Gaal diberitahu yang dia boleh memecahkan rekod dunia dengan membawa pemain terbaik pilihannya...

KINI bukan Real Madrid atau Barcelona sahaja yang mempunyai 'hak eksklusif' untuk memecah rekod dunia tetapi pengurus baru Manchester United, Louis van Gaal telah dimaklumkan yang dia akan diberi kuasa untuk turut memecah rekod dunia dengan membawa masuk pemain terbaik pilihannya.

"Ini bukan soal hendak memecah rekod dunia lagi tetapi untuk membawa masuk pemain terbaik dunia pilihan van Gaal...jika pemain pilihannya akan memecah rekod dunia, kita akan dapatkannya untuk van Gaal," demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Ed Woodward.

Tahun lalu, Real Madrid memecah rekod perpindahan dunia dengan membawa masuk pemain antarabangsa Wales, Gareth Bale dari  Tottenham Hotspur pada harga £86 juta, mengatasi rekod £80 juta yang dipegang selama ini oleh Cristiano Ronaldo yang dibeli dari Manchester United.

Untuk musim depan, United telah membelanjakan £27 juta untuk membeli pemain Southampton, Luke Shaw dan £28.5 juta untuk membawa masuk pemain Athletic Bilbao, Ander Herrera.

Januari lalu, mereka membelanjakan £37.5 juta untuk membeli pemain Chelsea, Juan Mata.

Dan Woodward sekali lagi menegaskan; “Saya akan berdiri teguh dengan apa yang saya akan katakan iaitu tidak ada bajet tertentu untuk menentukan jumlah bayaran membawa masuk pemain baru...kami berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dan berupaya untuk membeli pemain. Tetapi itu tidak bermakna kami akan membazir wang dengan membeli sesuka hati hanya kerana kami perlu membeli."

Dengan bekas penolong kapten Patrice Evra, Rio Ferdinand dan kapten pasukan, Nemanja Vidic - yang secara kebetulan kesemuanyanya pemain pertahanan meninggalkan United, benteng terakhir kini menjadi keutamaan van Gaal berbanding posisi lain.

United kini hanya mempunyai tiga pemain bek tengah iaitu Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling.

Mereka telah membawa masuk pemain bek kiri, Luke Shaw dan pemain tengah Ander Herrera tetapi itu tidak memadai untuk skuad yang besar.

Media massa Eropah melaporkan yang pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels menjadi sasaran utama van Gaal tetapi kelabnya  Dortmund enggan melepaskan pemain itu selepas mereka kehilangan seorang lagi bintang, Robert Lewandowski kepada Bayern Munich.

Pemain tengah Ajax, Daley Blind, yang merupakan pilihan utama van Gaal dalam skuad Piala Dunia Belanda adalah seorang lagi sasaran United bersama-sama pemain pertahanan Feyenoord, Stefan de Vrij serta kapten Arsenal, Thomas Vermaelen.

Seorang lagi pemain yang menjadi pujaan van Gaal ialah perancang tengah Roma, Kevin Strootman, cuma yang menjadi halangan ialah dia masih lagi dibelenggu kecederaan dan tidak akan bermain sehingga Januari tahun depan.

United yang baru sahaja menandatangani kontrak penajaan sebanyak £750 juta dengan Adidas untuk musim 2015/16 berazam untuk merampas balik takhta liga selepas memenanginya untuk kali yang ke-20 pada musim 2012/13.

Mereka berakhir di tangga ketujuh musim lalu iaitu yang terburuk dalam tempoh 26 tahun.

Artikel Lain