suria

Juara Wimbledon Djokovic Berkongsi Gambar Isteri Bersama Peminat

Djokovic dan isterinya Jelena memberikan pos istimewa kepada para peminat mereka seminggu selepas berkahwin.

> Novak Djokovic tumpaskan Federer di final Wimbledon awal bulan ini

> Minggu lalu berkahwin dengan dengan kekasihnya di Montenegro

> Akan menerima kelahiran anak pertama mereka hujung tahun ini

> Djokovic akan beraksi di Terbuka Kanada bulan depan

NOVAK Djokovic sedang menikmati keseronokan hidup sebagai seorang lelaki buat masa ini tapi siapa yang dapat menyalahkannya?

Dia bukan sahaja baru memenangi kejuaraan Wimbledon awal bulan ini malah seminggu yang lalu baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dengan Jelena Ristic dan tidak lama lagi akan menjadi seorang bapa.

Pemain nombor satu dunia itu yang juga juara Grand Slam tujuh kali telah berkongsi fotonya bersama Jelena dalam laman facebook dan twitter untuk ditatapi oleh para peminat setianya.

"Puan Djokovic dan saya dengan ini mengirim kepada anda satu pelukan istimewa dari Belgrade," katanya dalam laman Facebooknya.

"Dan terima kasih di atas semua ucapan indah yang anda kirimkan! Beberapa minggu yang lalu adalah minggu yang paling bermakna dalam hidup kami!," katanya lagi.

Djokovic, 27, telah menumpaskan Roger Federer dalam final Wimbledon untuk kembali menduduki takhta pemain nombor satu dunia.

Jelena dikenalinya sejak kecil dan mereka melangsungkan perkahwinan di Montenegro Khamis lalu.

Djokovic dijadualkan untuk kembali beraksi dalam Terbuka Kanada di Toronto bulan depan.

Mulai 25 Ogos pula dia akan beraksi dalam kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di New York iaitu siri akhir Grand Slam untuk tahun 2014.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain