suria

Bintang Baru Piala Dunia James Rodriguez Pernah Ditawarkan kepada Man Utd

Pemain sensasi terbaru Piala Dunia, James Rodriguez dari Colombia.

PEMAIN sensasi Colombia, James (disebut Ha-mes) Rodríguez, yang kini sedang mencipta nama sebagai superstar baru Piala Dunia dengan membawa pasukannya ke peringkat suku akhir pernah ditawarkan kepada Manchester United sekitar £5 juta sahaja tetapi ditolak oleh bekas juara Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain itu kemudiannya menyertai naib juara Liga Perancis Monaco dari Porto pada harga melambung £38.5 juta musim panas lalu.

Dia kini merupakan penjaring terbanyak temasya Piala Dunia dengan lima gol dan menjaringkan dua gol yang menyaksikan pasukannya menyingkirkan Uruguay Sabtu lalu untuk mara ke suku akhir Piala Dunia iaitu yang pertama dalam sejarah negaranya.

Salah satu jaringan volleynya pada perlawanan itu kini disebut-sebut sebagai gol yang tercantik dalam temasya Piala Dunia kali ini.

Colombia akan bertemu Brazil, Jumaat ini untuk menentukan tempat ke separuh akhir.

Kebangkitan Rodríguez, 23, pada kejohanan Piala Dunia ini adalah tidak disangka-sangka dan dia kini telah menjaringkan gol dalam kesemua enam perlawanan antarabangsanya dan bakatnya telah disamakan setaraf dengan Diego Maradona, Lionel Messi dan Luis Suárez oleh pengurus Uruguay sendiri, Óscar Tabárez.

Kini jurulatih, Brazil, Luiz Felipe Scolari harus memikirkan cara bagaimana untuk mengekang kemaraan Rodríguez Jumaat nanti.

Namun begitu yang sedang berputih mata kini sudah pastinya United yang menolak tawaran untuk Rodríguez empat tahun lalu pada harga yang boleh dianggap sebagai 'ciput' untuk kelab gergasi seperti mereka.

Pada waktu itu Rodríguez masih bermain untuk kelab Argentina, Atlético Banfield.

Dan pada usia 17 tahun ketika itu, Rodríguez sudah mencipta sejarah sebagai pemain asing termuda untuk bermain dalam Liga Argentina malah berjaya membawa kelab itu menjuarai liga pada 2009.

Pengurusnya, Julio Falcioni pada waktu itu telah berkata yang Rodríguez akan muncul sebagai bintang baru di Eropah dan untuk negaranya Colombia.

Ejen yang telah membantu membawa masuk Diego Forlan dan Antonio Valencia ke Liga Perdana Inggeris kemudiannya telah menawarkan Rodríguez kepada United pada harga £5 juta.

Tetapi oleh kerana Pengurus United, Sir Alex Ferguson sudah hampir mendapatkan pemain Mexico, Javier Hernández dari Guadalajara pada waktu itu, mereka menolak Rodríguez.

Beberapa minggu kemudian, United sebaliknya telah membelanjakan £7.4 juta untuk mendapatkan Bebé – yang kemudiannya tidak dapat mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama United dan terpaksa dipinjam keluar kepada beberapa kelab lain sepanjang tempoh empat tahun pemain itu bersama United.

Setelah gagal menyakinkan United, Rodríguez berpindah ke Portugal yang menyaksikannya menyertai Porto pada 2010 dengan harga yang jauh lebih murah daripada yang ditawarkan kepada United iaitu sekitar £4 juta sahaja.

Bersama Porto yang ketika itu dikendalikan oleh André Villas-Boas, Rodríguez berjaya merangkul kejuaraan liga dan selepas itu Piala Europa.

Sepanjang berada di Porto, nilai pemain itu melonjak naik dan musim lalu, bersama-sama seorang lagi pemain Porto, João Moutinho, Rodríguez menyertai Monaco pada harga kombinasi £60 juta.

Artikel Lain