suria

Scolari Selar Kenyataan Jurulatih Belanda

JURULATIH Brazil, Luiz Felipe Scholari menganggap dakwaan mengenai tuan rumah boleh memilih siapa lawan mereka pada aksi pusingan kedua sebagai 'bodoh dan menyakitkan hati'.

Brazil bakal berdepan dengan Cameroon bagi Kumpulan A awal pagi Selasa memerlukan mata untuk berada dalam kelompok 16 pasukan dan dijangka bertemu Belanda atau Chile yang telah layak ke pusingan kedua bagi Kumpulan B.

Belanda dan Chile akan beraksi lebih awal berbanding Brazil sekaligus dikatakan mempunyai kelebihan mengetahui lebih awal siapa lawan mereka.

"Sesetengah orang menganggap kami akan memilih siapa lawan pada aksi kedua nanti. Anggapan itu sesuatu yang bodoh dan menyakitkan hati, saya ulang 'bodoh dan menyakitkan hati," ujar Scholari.

"Kami perlu bermain secara kualiti, bukan pilih lawan. Jadual perlawanan ditentukan oleh FIFA".

Scolari atau lebih dikenali Big Phil membalas komen yang dibuat jurulatih Belanda, Louis van Gaal pada Ahad yang merungut skuadnya perlu bermain sebelum pasukan Brazil.

"Apabila kamu mengeluarkan kenyataan sedemikan, sudah tentu seseorang akan bercakap mengarut," ujar Scolari.

Pemenang Kump A akan bertemu naib juara Kump B pada Sabtu depan, manakala pemenang tempat kedua Kump A akan bertemu naib juara Kump B pada Ahad.

Brazil dan Mexico mengutip empat mata dalam Kump A, Croatia (3 mata) manakala Cameroon sudah tersingkir selepas gagal mencatat sebarang mata.

Van Gaal mendakwa FIFA bermain muslihat.

"Ia memang kelihatan tidak adil. Pun begitu kami akan beri fokus sepenuhnya bagi untuk mencatat kemenangan bertemu Chile nanti," jelasnya sebelum ini.


Artikel Lain