suria

PDRM Cerahkan Peluang Beraksi Di Liga Super 2015

Pemain Sabah, Leopold Alfonso (biru) cuba mengasak pemain Kedah, Syazwan Zainol (kuning) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Darul Aman pada Isnin malam. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencerahkan peluang mereka untuk beraksi pada saingan Liga Super, musim hadapan selepas mencatatkan kemenangan ke-14 pada Isnin.

Keputusan 2-1 yang dicatat oleh skuad 'The Cops' itu ke atas DRB Hicom FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, turut membolehkan mereka melebarkan kemenangan tanpa kalah kepada 18 perlawanan.

Pada perlawanan di Kelana Jaya itu, PDRM terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pemain import pasukan pelawat, Ogunboye Iyanu Ezekiel pada minit ke-29 sebelum bangkit meraih dua gol, masing-masing menerusi Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-39 dan penyerang import dari Gambia, Mohamadou Sumareh (41').

Pulau Pinang turut memberikan saingan bagi mahkota kejuaraan Liga Perdana, musim ini selepas meraih tiga mata dengan menundukkan 'adik' mereka, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) 3-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Tiga gol skuad 'Harimau Kumbang' dijaring oleh Luiz Ricardo Lino Dos Santos pada minit ke-43; Hazuan Shah Abdul Hakim (gol sendiri-60') dan Mohd Shazuan Ashraf Matthews (63') manakala gol saguhati PBAPP FC disumbang oleh Kaye Edrisar menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.

Kedah pula mengekalkan kedudukan keempat liga susulan kemenangan 2-0 ke atas Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dua gol skuad 'Helang Merah' dijaring oleh Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-69 dan Mohd Zuraindey Jumai pada minit ke-90.

Di Stadium Mini Temerloh, wakil kelab SPA Putrajaya FC dan Negeri Sembilan meraih satu mata selepas terikat 3-3.

Dalam pada itu, perlawanan antara UiTM FC dan Perlis di Stadium UiTM, Shah Alam terpaksa ditangguh ke esok selepas pemain Perlis dikatakan mengalami keracunan makanan sebelum bermulanya perlawanan.

Satu lagi aksi Liga Perdana antara naib juara Piala FA 2014, Felda United FC dan Johor Darul Ta'zim II akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, hari ini (Selasa).
Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain