suria

Superbike: Guintoli Terpantas Sesi Latihan Di Litar Sepang

Pelumba Aprilia Racing Team, Sylvain Guintoli menguji jentera pasukannya semasa sesi latihan bebas sempena Superbike FIM World Championship (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat. -foto IZZRAFIQ ALIAS
SEPANG: Pelumba Perancis Sylvain Guintoli mencatatkan masa terpantas dalam gabungan tiga sesi latihan bebas pada perlumbaan pusingan keenam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, Jumaat.

Pelumba Aprilla berusia 32 tahun itu mencatatkan masa 2 minit 05.291 saat iaitu kelebihan 0.124 saat untuk mengatasi rakan sepasukan Marco Melandari manakala pelumba Sepanyol, Toni Elias muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan masa 2'5.222s.

Bekas juara dunia 2011, Davide Giugliano daripada pasukan Ducati menduduki tempat keempat selepas melakukan kebangkitan lewat untuk mengenepikan juara bertahan Tom Sykes dari Britain di tempat kelima.

Guigliano dari Itali mencatatkan masa 2'05.278s manakala Sykes, pelumba Kawasaki, merakamkan masa 2'05.283s pada sesi latihan kedua dalam saingan kategori 1000cc.

Sementara itu, dalam kategori Supersport 600cc, wakil tunggal Malaysia atas tiket wildcard, Mohd Zaqhwan Zaidi menampilkan tunggangan memberangsangkan dengan kedudukan ke-11 terpantas pada penampilan sulung dalam kategori Supersport 600cc.

Pelumba kelahiran Kajang berusia 18 tahun itu, mewakili pasukan Ten Kate Racing Products Team of Holland, mencatatkan masa 2'10.378s dalam saingan 23-pelumba dalam kategori tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi latihan, Mohd Zaqhwan berkata beliau amat gembira dengan keputusan itu dan berharap untuk memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan esok.

"Saya berazam untuk mencapai masa yang lebih pantas pada sesi kelayakan. Sebenarnya sasaran yang diletakkan ialah mencapai kedudukan 15 pelumba terbaik hari ini.

"Secara peribadi, saya fikir motosikal yang digunakan boleh melakukan catatan lebih pantas," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kru teknikal pasukan yang berjaya menyelaraskan jentera dengan baik.

Dalam kategori tersebut, pelumba Perancis Jules Cluzel muncul sebagai pelumba terpantas dengan mencatatakan masa 2'09.423s, mengatasi pelumba Honda Ratthapark Wilairot dari Thailand dengan kelebihan tipis 0.44 saat.

Seorang lagi pelumba Perancis, Florian Marino menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2'09.548s.

Sesi kelayakan esok akan menentukan kedudukan petak utama pada perlumbaan Ahad ini.

Malaysia menjadi tuan rumah pusingan keenam daripada 14 pusingan kejuaraan dunia tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain