suria

Superbike Dunia: Mohd Zaqhwan Intai Kedudukan 10 Terbaik

Mohd Zaqhwan bergambar bersama jenteranya pada pelancaran Kejohanan Superbike Dunia di Damansara, April lalu. foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
KUALA LUMPUR: Pelumba wildcard negara, Mohd Zaqhwan Zaidi menyasarkan kedudukan 10 terbaik pada pusingan keenam Kejohanan Superbike Dunia eni FIM 2014 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Mohd Zaqhwan yang bakal membuat penampilan sulung pada perlumbaan Supersport 600cc di kejohanan itu turut bertekad mengutip sebanyak mungkin pengalaman bersaing dengan pelumba antarabangsa lain termasuk juara dunia, Tom Sykes dari Britain.

"Terlalu awal untuk melabelkan saya sebagai pesaing kerana ini penampilan pertama saya pada kejohanan ini... Selain mengumpul mata, saya akan berusaha untuk mencapai kedudukan 10 pelumba terbaik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pengenalan trofi kejohanan berprestij itu di Royal Selangor Pewter di sini hari ini.

Pelumba muda berusia 19 tahun yang mewakili pasukan Ten Kate Racing Products dari Belanda itu turut mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri untuk meraih keputusan positif pada perlumbaan Ahad ini.

Mohd Zaqhwan bagaimanapun berkata beliau belum sempat menguji jentera Honda CBR600RR yang bakal digunakannya kerana baru kembali daripada menyertai pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix Petronas AAM 2014 yang berakhir di Stadium Hang Jebat, Melaka, Ahad.

Pemilihan Mohd Zaqhwan pada kejohanan berprestij itu diputuskan oleh SIC berdasarkan persembahan konsistennya pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) selain kategori Moto2 pada kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di SIC.

Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang dipilih oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain