suria

Pemain Muda England Menakutkan - Gerrard

KETUA pasukan England, Steven Gerrard percaya barisan pemain muda yang dipilih mewakili negara itu dalam aksi Piala Dunia bakal 'menakutkan' lawan.

Ross Barkley, Raheem Sterling dan Luke Shaw antara yang dipanggil oleh pengendali England, Roy Hodgson selepas menampilkan aksi memukau bersama Everton, Liverpool dan Southampton.

"Saya rasa kebolehan pemain muda negara ini sesuatu yang 'menakutkan'.

"Sebahagian besar pemain muda yang dipilih telah menunjukkan aksi yang menakjubkan pada Liga Perdana Inggeris musim ini dan saya pasti pengurus mahukan mereka meneruskannya di Brazil," kata Gerrard.

Gerrard yang berusia 34 tahun akan dibantu oleh penolong ketua pasukan iaitu Frank Lampard yang merupakan pemain tertua dalam skuad berkenaan iaitu berusia 35 tahun.

Pemain tengah Liverpool itu menambah, "Saya harap pemain muda tidak akan dipengaruhi oleh faktor ketakutan kerana baru menyertai Piala Dunia dan dapat bersama saya dan Lampard."

Piala Dunia di Brazil pada musim panas ini merupakan penampilan ketiga Gerrard dan kedua sebagai ketua pasukan selepas mengambil tugas itu daripada Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan pada Piala Dunia 2010.

"Ia merupakan satu perkara yang bodoh untuk saya berdiri di sini dan berkata 'yeah kita akan menang'. Apa yang boleh saya janjikan ialah kami akan ke Brazil dan memberikan yang 100 peratus terbaik," jelasnya.

Perlawanan pertama England pada Piala Dunia kali ini akan bermula pada 14 Jun dengan menentang Itali di Bandar Manaus berhampiran hutan Amazon.




England, Brazil, Piala Dunia

Artikel Lain