suria

Liga Super: Selangor Kuasai Kedudukan Teratas

Pemain Selangor Paulo Rangel (kanan) diasak pemain Sime Darby ketika perlawanan Liga Super 2014 di Stadium Shah Alam, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Selangor terus melebarkan pungutan mata dipersada Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sime Darby FC pada perlawanan di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel muncul wira skuad 'Gergasi Merah'itu selepas meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Selangor dengan 34 mata, lima mata dihadapan pencabar terdekat, Pahang selepas 16 perlawanan.

Terengganu pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga, susulankemenangan 2-1 ke atas wakil Singapura, Lions XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal penyerang Lions XII, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit kelapan sebelum menyamakan kedudukan menerusi Javier Estupinan Romero, tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani memastikan Terengganu mengumpul tiga mata penuh apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69.Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, pasukan Kelantan kembali berada di landasan kemenangan selepas mengalahkan Perak 2-1.

Mohamed Shawky Yazid membuka tirai jaringan untuk skuad 'The Red Warriors' seawal minit kelima selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada BrendanGan.

Mohd Khairul Izuan Rosli menggandakan jaringan Kelantan pada minit ke-77selepas memanfaatkan hantaran daripada Mohd Fitri Omar. Mohd Norhakim Isa mengurangkan defisit jaringan untuk skuad 'The BosGaurus', dua minit kemudian.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mencerahkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas mengalahkan T-Team 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import dari Indonesia, Patrich Wanggai seawal minit ketiga perlawanan.

Pemain import dari Haiti, Fabrice Noel muncul wira skuad 'The Gladiators'selepas meledak dua jaringan masing-masing pada minit ke-19 dan 33. Dalam saingan tunggal Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas sekadar terikat 1-1 dengan DRB Hicom FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Braulio Nobrega Rodriguez meletakkan skuad 'Harimau Selatan' di hadapan pada minit ke-28 sebelum pemain import dari Nigeria, Ogunboye Iyanu Ezekiel menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-38. Keputusan itu tidak mengubah kedudukan JDT II dan DRB Hicom FC yang masing-masing menghuni tangga keenam dan kelapan liga dengan pungutan 23 dan 18 mata. 

Liga Super, Selangor

Artikel Lain