suria

Hoki: Korea Selatan Juara Pertama Kali

KUANTAN: Korea Selatan melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 buat julung kali selepas mengalahkan Kanada 4-0 pada perlawanan akhir di sini, malam Ahad.

Selepas muncul naib juara tiga kali pada edisi 2003, 2005 dan 2012, Korea Selatan tidak melepaskan peluang keemasan di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini dengan memperagakan aksi cemerlang.

Kejayaan itu menjadikan Korea Selatan negara kedua Asia meraih gelaran itu selepas India pada edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2001.

Kemenangan itu juga membolehkan Korea Selatan menempah slot ke Trofi Juara-Juara 2016 di Argentina.

Korea Selatan menepati statusnya sebagai negara ketujuh terbaik dunia dengan menampilkan rentak dan pergerakan kemas dan pantas untuk memukau Kanada yang menduduki ranking ke-16 dunia.

Jang Jong Hyun membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila percubaan pukulan sudut penaltinya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Kanada, David Carter.

Gol pembukaan itu telah menyalakan semangat juang rakan sepasukannya untuk mengasak kubu lawan dan hasilnya berbaloi tiga minit kemudian menerusi jaringan Kim Young Jin.

Bagaimanapun, pada babak kedua, Kanada semakin tertekan apabila pakar pukulan sudut Scott Tupper, yang juga kapten pasukan, gagal mendapat sentuhan dalam beberapa percubaan pukulan sudut penalti.

Korea Selatan menguasai perlawanan apabila ternyata lawannya itu tidak setanding denganya apabila melebarkan jaringan sekali lagi menerusi Jong Hyun yang menyempurnakan pukulan strok pada minit ke-56.

Walaupun selesa dengan kedudukan, Korea Selatan tidak memperlahankan rentak malah terus melakukan serangan bertali arus pada babak-babak terakhir perlawanan untuk menjaringkan gol terakhir pada minit ke-69 menerusi Kim Seong Kyu.

Jong Hyun juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol.

Hoki, Kuantan, Korea Selatan, Kanada

Artikel Berikut

Artikel Lain