suria

FINA 2014: Pandalela Raih Tempat Ke-5 Acara Individu

Persaingan Pandalela di Moscow berakhir dengan menduduki tangga ke lima.

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Pandelela Rinong mengakhiri kempen Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di Moscow, Rusia dengan meraih tempat kelima dalam acara individu.

Penerjun berusia 21 tahun itu mengumpul 364.00 mata dalam acara individu dan menduduki tempat kelima daripada enam penerjun pada pusingan keempat kejohanan itu yang diadakan di Kompleks Sukan Olimpik Moscow pada Ahad.

Pandelela, yang berasal dari Sarawak dan Leong Mun Yee berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama pada Jumaat.

Penerjun dari China, Liu Huixia dan Chen Ruolin terus mengungguli acara itu apabila menduduki tempat pertama dan kedua dengan mengumpul 411.40 dan 397.45 mata manakala penerjun Ukraine, Yulia Prokopchuk meraih gangsa, dengan 380.10 mata, menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) www.fina.org.

Pada Sabtu, gandingan Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee berjaya menambah pingat gangsa kedua negara apabila mengumpul 305.40 mata dalam acara tiga meter papan anjal seirama wanita.

Persaingan itu akan diteruskan pada pusingan kelima di Windsor, Kanada dari 30 Mei hingga 1 Jun sebelum berakhir di Monterrey, Mexico dari 6 hingga 8 Jun. 


Artikel Berikut

Artikel Lain