suria

Piala FA: Import Baharu Taruhan JDT Gempur Pahang

Pengurus Pasukan Johor Darul Ta'zim ( JDT) I, Bojan Hodak menyerahkan jersi kepada dua pemain Import baharu Jorge Pereyra Diaz, 24, dari Argentina (kiri) dan Marcos Antonio Elias Santos, 30, dari Brazil pada majlis sesi memperkenalkan pemain baru kepada peminat di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin.

JOHOR BAHARU: Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan berdepan Pahang pada perlawanan separuh akhir Piala FA malam Isnin bakal menurunkan dua pemain import baharu bagi memastikan kemenangan.

Pengurus pasukan Bojan Hodak berkata kehadiran Jorge Pereyra Diaz, 24, dan Marcos Elias Santos, 31, yang menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Pablo Aimar dan Baihakki Khaizan menjadi senjata rahsia skuad 'Harimau Selatan' memandangkan pihak pelawat tidak tahu keupayaan yang dimiliki mereka.

"Diaz dan Santos sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu mereka dan kehadiran mereka merupakan satu tambahan yang baik kepada pasukan.

"Ini sekaligus menaikkan semangat pemain lama dan menambahkan ketajaman di bahagian serangan," katanya pada majlis pengenalan Diaz dan Santos di Stadium Tan Sri Hassan Yunos," katanya.

Hodak berkata Diaz bakal menyarung jersi bernombor 42 namun masih menanti Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang beliau yakin dapat diperoleh sebelum perlawanan esok.

Dalam pada itu, Hodak menuntut pemain skuad tuan rumah memberi tumpuan penuh pada perlawanan itu dan memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri.

"Dengan memontum kemenangan yang dimiliki, saya yakin pemain mampu memastikan kami mempunyai kelebihan sebagai bekalan untuk pertemuan kedua di Stadium Darul Makmur nanti," katanya.

Sementara itu, Santos yang akan menyarung jersi bernombor 44 berkata beliau bertekad untuk membantu pasukan berkenaan memenangi trofi pada musim ini.

"Keyakinan saya amat tinggi pada ketika ini untuk memastikan kemenangan dan membawa pasukan ke perlawanan akhir," katanya.


Piala FA, JDT, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain