suria

Liga Juara-Juara: Atletico Tewaskan Chelsea Untuk Ke Final Bertemu Real Madrid

Diego Costa (kiri) bersama Koke meraikan gol kedua Atletico yang menumpaskan Chelsea 3-1 untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.
Terkini

LONDON: Jose Mourinho meletakkan enam pemain pertahanan sebagai benteng untuk menghalang kemaraan Adrian, Diego Costa dan Koke daripada bermaharajalela di hadapan pintu golnya tetapi Atletico Madrid masih berupaya menumpaskan Chelsea 3-1 untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah bertemu kelab sekampung, Real Madrid di Lisbon, 24 Mei nanti.

Dengan kelemahan yang amat ketara di bahagian serangan, siapa yang boleh menyalahkan Mourinho jika dia "meletakkan bas" di hadapan pintu golnya.Malah itulah gelaran yang diberikan kepada Mourinho sejak akhir-akhir ini. Tapi dia tidak kisah. Dia selalu menjawab dengan penuh sinis: "pasukan yang terbaik menang..."

Untuk seketika formasi 6-3-1 yang dibentuknya dengan Branislav Ivanovic, Ashley Cole, David Luiz, Gary Cahill, John Terry dan Azpilicueta sebagai benteng terakhir nampak macam menjadi.

Malah mereka yang menyumbat gol terlebih dahulu menerusi Fernando Torres pada minit ke-36. Torres yang bermain menentang bekas kelab lamanya enggan meraikan jaringan golnya itu sebagai tanda respek kepada Atletico. Torres tidak seronok dengan jaringannya. Dia tidak senyum langsung. Tapi penyokong-penyokong Chelsea seronok.

Rasa seronok penyokong-penyokong Chelsea itu bagaimanapun hanya mampu bertahan lapan minit sahaja kerana selepas itu benteng Mourinho bolos. Adrian menjaringkan gol penyamaan Atletico pada minit ke-44. Selebihnya hanya tinggal sejarah.

Untuk menambah duka tersebut dan sebagai bukti yang taktik bertahan adakah taktik kuno yang sudah ketinggalan zaman, kekalahan 3-1 di tangan Atletico itu adalah yang terbesar di bawah Mourinho di Stamford Bridge.

Sebaliknya falsafah 'menyerang' Atlético mengambarkan mengapa mereka semakin mendominasi La Liga dan meletakkan diri mereka kini setaraf dengan Barcelona dan Real Madrid.

Gol penyamaan Adrián itu boleh disifatkan sebagai pengubah kompleksiti permainan ini dan sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Atlético cemerlang dari mula sampai habis.

Namun sebelum itu, Mourinho sudah dapat merasakan yang strateginya tidak menjadi dan dia perlu mempertajamkan serangannya. Dia memasukkan Samuel Eto'o mengantikan Cole pada minit pada minit ke-54.

Perjudiannya itu sebaliknya membawa padah. Manakan tidak, Eto'o bertanggungjawab terhadap hadiah sepakan penalti kepada Atletico dan Diego Costa muncul sebagai wira dengan jaringan golnya pada minit ke-60.

Nasib malang itu menjadi berganda 12 minit kemudian apabila pemain tengah, Arda Turan menanduk masuk gol ketiga dan itu sudah memadai untuk menutup pintu Chelsea. Diego Simeone dapat dilihat berlari di tepi padang melonjakkan kegembiraannya pada tahap maksimum. Tapi siapa boleh salahkannya. Ini adalah kejayaan terbesarnya sebagai pengurus walaupun ditakdirkan tidak memenangi kejuaraan ini nanti.

Untuk menambah rasa pedih pada luka itu, Mourinho berkemungkinan mengakhiri musim ini tanpa sebarang piala jika dia gagal memenangi kejuaraan liga dua minggu dari sekarang - iaitu yang pertama dalam sejarahnya yang gemilang.

Dan untuk Atletico pula, 40 tahun selepas final mereka yang terakhir, mereka hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk memenangi kejuaraan La Liga.

Chelsea: Mark Schwarzer, Branislav Ivanovic, Gary Cahill, John Terry, Ashley Cole (Samuel Eto'o, 54'), Nascimento Ramires, David Luiz, da Silva Willian (Andre Schurrle,76'), Cesar Azpilicueta, Eden Hazard, Fernando Torres (Demba Ba, 66'). Simpanan yang tidak bermain: Oscar, Van Ginkel, Kalas, Hilario.

Atletico: Thibaut Courtois, Torres Juanfran, Joao Miranda, Diego Godin, Kasmirski Filipe Luis, Jorge Koke, Cardoso Tiago, Mata Mario Suarez, Arda Turan (Cristian Rodriguez, 83'), da Silva Diego Costa (Jose Sosa,76'), Lopez Adrian (Escudero Raul Garcia,66').  Simpanan yang tidak bermain: Aranzubia, Villa, Alderweireld, Diego.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain