suria

Skuad Hoki Negara Atasi Kanada

Penjaring gol kemenangan Malaysia Tengku Ahmad Tajudin (tengah) diasak pertahanan Kanada pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 2014 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan pada malam Rabu.
KUANTAN: Skuad hoki negara berjaya meraih kemenangan pertama pada perlawanan penutup peringkat kumpulan, Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 selepas mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Kanada di Stadium Hoki Indera Mahkota di sini, malam Selasa.

Malaysia yang meduduki tangga tercorot kumpulan B bakal menghadapi saingan sukar pada perlawanan peringkat suku akhir apabila terpaksa berdepan dengan pasukan pilihan kejohanan iaitu New Zealand Khamis ini. 

Sebelum ini, skuad hoki negara mengharungi detik pahit setelah tewas 2-3 kepada Perancis pada aksi pembuka tirai dan kemudianya tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan kedua. 

Kanada seolah tidak memberi peluang pasukan hoki negara apabila berjaya membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan penalti stroke yang dilakukan oleh kapten pasukannya Scott Tupper. 

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abudullah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan selang satu minit kemudian menerusi gol padang yang dihasilkan oleh Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil sebelum Muhammad Shahril Saabah menggandakan jaringan pada minit ke-19.

Kegembiraan skuad negara tidak kekal lama apabila Kanada kembali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-30 hasil gol padang oleh Gabriel Ho-Garcia. 

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Malaysia kembali bangkit mendahului Kanada 3-2 menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan oleh Muhammad Shahril pada minit ke-40.

Kanada bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan 3-3 menerusi Scott Tupper sebelum Ahmad Tajudin menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-55. 

Muhammad Dhaarma berkata walaupun berjaya meraih kemenangan pada malam ini pasukannya terpaksa menerima hakikat akan berdepan dengan laluan sukar apabila ditakdirkan bertemu dengan New Zealand pada aksi suku akhir Khamis ini.

"Kita perlu mengguna semua yang ada untuk mencari mata kemenangan walaupun sedar kekuatan New Zealand yang digeruni oleh pasukan lain," katanya kepada pemberita. 

Beliau berkata rata-rata pemain dalam pasukannya kini mendapat keyakinan selepas kecewa apabila tewas dua perlawanan sebelum ini.
 
"Saya harap pemain kita akan dapat terus memberi fokus kepada perlawanan akan datang dan perubahan tersebut dapat dilihat apabila beberapa pemain seperti Ahmad Tajudin Abdul Jalil dan Muhammad Shahril Saabah masing-masing berjaya menyumbang dua gol pada malam ini," katanya. 

Sebelum itu, pendahulu kumpulan B, Korea Selatan mengalahkan Perancis 3-2.

Dalam saingan kumpulan A pula, pasukan pilihan, New Zealand dengan mudah membelasah Poland 8-3, manakala Ireland mencipta kejutan apabila berjaya mengalahkan Jepun 1-0.

Pada aksi suku akhir Khamis ini Malaysia dijadualkan bertemu juara kumpulan A iaitu New Zealand, Kanada akan berdepan dengan Poland.
 
Manakala juara kumpulan B, Korea Selatan akan bertemu Jepun dan Perancis pula akan menentang Ireland. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain