suria

Sultan Ahmad Shah Beri Kata Putus Pertahan Jawatan Presiden FAM 19 April ini

Sultan Ahmad Shah.
KUALA LUMPUR: Pendirian Sultan Ahmad Shah sama ada akan mempertahankan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang disandang semenjak 30 tahun lepas, akan diketahui pada 19 April ini.

Sultan Pahang itu dijangka mengumumkan keputusannya selepas mesyuarat exco FAM pada hari berkenaan.

"Saya tidak terburu-buru dalam hal ini. Pertama sekali kita nak adakan mesyuarat exco pada 19 April ini sebelum saya beri kata putus," titah baginda ketika ditemui pemberita di sini Khamis.

FAM akan mengadakan pemilihan untuk penggal 2014-2018 sempena Kongres ke-50 badan induk bola sepak negara itu pada 25 Mei ini.

Pada 2 April lepas, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiga pencalonan untuk jawatan presiden diterima tetapi tidak mendedahkan nama calon berkenaan atau persatuan yang mengemukakan pencalonan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan dua nama besar disebut-sebut untuk mencabar kedudukan Sultan Ahmad Shah iaitu Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan juga Tengku Mahkota Pahang, yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa Ibu Pejabat FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat Petaling jaya, akan berpindah ke kompleks pentadbiran mereka yang baharu di Putrajaya yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Kompleks berkenaan yang dibina di atas tanah seluas 2.4 hektar itu turut menempatkan bangunan pentadbiran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas bola sepak.

Terdahulu, baginda menerima penajaan dua buah kereta daripada Kumpulan DRB Hicom Berhad iaitu sebuah kereta Proton Preve dan sebuah Proton Persona untuk kegunaan FAM.

Penajaan tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Berhad Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Pada majlis berkenaan, Mohd Khamil turut menyerahkan sebuah bas kepada baginda untuk kegunaan Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah, sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yatim yang terletak di Kuantan, Pahang.

Artikel Lain