suria

Thorpe Mungkin Tidak Boleh Berenang Lagi

Thorpe kini menjalani rawatan rapi berikutan jangkitan di tangan kirinya.

JAGUH renang Australia, Ian Thorpe berada dalam jagaan rapi di Hospital Sydney berikutan jangkitan yang dialaminya dan dilaporkan dia mungkin tidak boleh beraksi lagi.

Pengurus Thorpe, James Erskine mengesahkan perenang itu kini bergelut dengan jangkitan serius dan mungkin tidak boleh berenang lagi.

"Ia serius tetapi tidak mengancam nyawanya. Pandangan saya, dia tidak akan berenang secara kompetitif lagi selepas ini," jelas Erskine kepada media Australia.

Thorpe dilaporkan mendapat jangkitan tersebut di rumahnya, Switzerland, namun kini kembali ke Australia menjalani rawatan penyakitnya itu.

Media di Australia mendakwa, masalah tersebut timbul selepas dia menjalani pembedahan di hospital berdekatan rumahnya.

Dia kini berada dalam jagaan rapi di Sydney dan kawannya memberitahu Network Seven bahawa mereka bimbang Thorpe tidak boleh menggunakan tangan kirinya lagi, berdasarkan keadaan yang serius.

Juara Sukan olimpik lima kali itu mempunyai sejarah tekanan perasaan beberapa tahun sebelum ini, seperti mana yang didedahkan dalam buku autobiografinya dua tahun lalu.

Dan Februari lalu, dia dimasukkan ke pusat pemulihan berikutan satu insiden cubaan memecah sebuah van.

Dalam masa sama dia juga ada mengambil ubat anti-tekanan serta beberapa jenis ubat lagi bagi mengurangkan kesakitan bahunya.

Thorpe berpindah ke Switzerland untuk memulakan hidup baharu selepas gagal melayakkan diri ke Olimpik 2012.

Dan pada bulan lalu, penduduk tempatan mendedahkan bahawa Thorpe adalah seorang yang baik.

"Tidak dijangka kami dekat dengan seorang yang baik hati, baik tingkah lalu dan selalu diberi perhatian...Dia membina kehidupannya di sini dan semua orang tidak ambil peduli sama ada dia terkenal atau tidak.

"Dia selalu kelihatan gembira." 

Thorpe memenangi tiga pingat emas pada Olimpik 2000 di Sydney dan menambah koleksi di Athens empat tahun kemudian, namun dia membuat kejutan untuk bersara ketika usia 24 tahun pada 2006 kerana kekurangan motivasi diri.

Bagaimana pun selepas itu, Thorpe mengumumkan akan kembali ke kolam pada tahun 2011 bagi kelayakan Olimpik di London, malangnya dia gagal.

Thorpe menganggap aksi kembali ke kolam itu sebagai 'kembali ke mimpi ngeri'.

Dia kemudiannya memperkenalkan buku autobiografinya "This is Me" selepas hampir sedekad berdepan dengan tekanan perasaan, termasuk mempunyai perasaan membunuh diri dan masalah alkohol.

Walaupun mengalami kekecewaan dengan masalah kecederaan berterusan, Thorpe memberitahu dia tidak akan menarik diri untuk aksi Olimpik 2016 di Rio.

Renang, Australia, Ian Thorpe

Artikel Berikut

Leeds Milik Massimo Cellino

Artikel Lain