suria

Bek Kiri Chelsea Ashley Cole Ditawar 8 Juta Pound Sterling Sertai Real Madrid

Ashley Cole

SEORANG pemain bolasepak profesional sudah dianggap lanjut usia apabila dia mencecah 30 tahun tetapi sumber dari Madrid menyebut yang pemain bek kiri Chelsea, Ashley Cole, yang sudah pun berumur 33 tahun, telah ditawarkan gaji sebanyak 8 juta pound sterling (RM43.51 juta) untuk bermain selama dua tahun bersama Real Madrid.

Ini adalah sangat luar biasa untuk seorang yang sudah mencecah usia 33 tahun sepertinya tetapi pada masa yang sama memperlihatkan nilainya yang masih tinggi di pasaran antarabangsa.

Cole akan menjadi pemain bebas sebaik sahaja kontraknya bersama Chelsea tamat Jun ini dan dia boleh berpindah ke mana-mana kelab pilihannya sendiri tanpa kelab itu perlu membayar yuran perpindahan kepada Chelsea.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti pernah membimbing Cole ketika dia menjadi pengurus Chelsea dari 2009-11 dan oleh yang demikian sudah mengenali sangat pemain antarabangsa England itu.

Jika Ancelotti membawa masuk Cole, ini bermakna dia akan melepaskan Fabio Coentrao - mungkin kepada Spurs atau Manchester United bergantung siapa yang menawarkan harga tertinggi untuk bek kiri Portugal itu.

Buat masa ini, Cole bukanlah pilihan utama Jose Mourinho yang lebih senang dengan pemain antarabangsa Sepanyol, Cesar Azpilicueta. 

Cole hanya berpeluang bermain dalam 12 perlawanan liga sahaja musim ini yang hanya berbaki enam perlawanan sahaja lagi.

Oleh yang demikian Cole kini berada di persimpangan jalan sama ada mahu terus kekal bersama kelab yang dicintainya Chelsea atau berpindah ke kelab lain jika mahu terus menjadi pilihan utama.

Menurut sumber dalaman Chelsea pula, Cole akan ditawarkan sambungan kontrak semusim sahaja lagi sebelum kontrak lamanya tamat.

Artikel Lain