suria

Terengganu Kekal Pendahulu Liga Super

Pemain Terengganu Abd Manaf Mamat berjaya menjaringkan gol pertama pada perlawanan Liga Super menentang pasukan ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dekat Kuala Lumpur, malam Selasa. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam Selasa.

Keputusan itu menyaksikan skuad 'Penyu' mengumpul 16 mata, berkongsi mata dengan Pahang dan Selangor namun menduduki tangga teratas kerana perbezaan jaringan.

Tiga gol pasukan Terengganu dijaringkan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-23, Norfarhan Muhammad (77') dan Mohd Faiz Subri pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Jiran mereka, Pahang terus mengekori rapat susulan kemenangan 3-1 menentang Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Skuad 'Tok Gajah' meledakkan tiga jaringan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-42 dan 59' serta Mohd Fauzi Roslan (62') manakala gol tunggal PKNS FC dijaring penyerang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-71.

Pasukan Selangor terus mengekalkan rentak cemerlang selepas mencatat kemenangan mengejut 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching menerusi sentuhan penyudah Andik Vermansah pada minit ke-24 dan A. Thamil Arasu (52').

Turut mengutip tiga mata penuh ialah pasukan berstatus bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Penyerang antarabangsa Lubnan, Muhammad Ghaddar Mahmoud, meletakkan skuad 'The Red Warriors' di depan pada minit ke-17 sebelum Mohd Amri Yahyah menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Bekas pemain Piala Presiden Johor, Muhammad Fazly Mazlan, muncul wira skuad 'Harimau Selatan' selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-87.

Juara bertahan, Lions XII dari Singapura turut meraih tiga mata berharga selepas mengalahkan Perak hasil jaringan tunggal pemain pertahanan Safuwan Baharuddin pada minit ke-90.

Wakil kelab dari Terengganu, T-Team pula keluar dari zon penyingkiran selepas mengalahkan Sime Darby FC dengan kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad 'The Titans' dijaring oleh pemain import dari Brazil, Evaldo Goncalves pada minit ke-25 dan kapten pasukan Mohd Marzuki Yusof (minit ke-71).

terengganu, liga super

Artikel Lain