suria

Moto2: Hafizh Pungut Mata Pertama Di Qatar

Hafizh berjaya raih satu mata pada aksi pertama musim ini.
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bangkit daripada aksi kurang memberangsangkan ketika sesi latihan dan sesi kelayakan dengan kejayaan memungut satu mata pada perlumbaan akhir saingan Kejuaraan Grand Prix (MotoGP) Dunia Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, Ahad.


Hafizh yang bermula dari barisan ke-10 berjaya menamatkan 20 pusingan perlumbaan di kedudukan ke-16 dengan masa 41:01.658s selepas dipintas Luis Salom yang menduduki tangga ke-15 pada selekoh terakhir perlumbaan menyaksikan dia terlepas peluang untuk mengutip satu mata pada penampilan pertama semusim penuh Moto2.

Namun pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu menerima berita baik apabila Takaaki Nakagami yang muncul di tangga kedua dibatalkan penyertaannya akibat melanggar peraturan.

Perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, Esteve Rabat dengan masa 40:20.963s, 1.059s dihadapan Mika Kallio (40:22.022s) dan Thomas Luthi ketiga, 40:24.704s.

"Saya memang meletakkan sasaran untuk mengutip mata pada perlumbaan ini tetapi kecewa kerana dipintas pada saat akhir oleh Salom. 

"Kegagalan ini bagaimanapun dijadikan sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih baik pada perlumbaan akan datang. 

"Namun sebaik diberitahu tentang pembatalan Nakagami, saya gembira kerana dapat memungut satu mata di sini,"jelas Hafizh.Mengulas tentang perlumbaan, Hafizh berkata: "Seperti yang dijangka, perlumbaan cukup mencabar. 

"Saya bermula dengan baik namun tidak begitu tergesa-gesa untuk melepasi selekoh pertama memandangkan keadaan jentera masih berat dengan minyak yang penuh selain mahu mengelak sebarang insiden kemalangan. 

"Apabila minyak semakin berkurangan dan jentera semakin ringan, barulah saya memecut dengan lebih laju. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana menyediakan jentera yang cukup baik kepada saya.

Pengurus pasukan, Barry Leong turut gembira dengan pencapaian Hafizh mengakui ia permulaan yang baik.

"Walaupun pada awalnya Hafizh tamat di tempat ke-16. Malah sebenarnya kami tidak menjangka Hafizh dapat memperaga aksi baik seperti ini.

"Kami tidak mahu dia mengambil sebarang risiko pada peringkat awal musim MotoGP ini kerana mahu dia menimba seberapa banyak pengalaman terlebih dahulu. Secara keseluruhan, kami sangat gembira dengan keputusan ini."


Keputusan penuh Moto2:

1.Esteve Rabat (SPA) Kalex 40’20.963s 

2.Mika Kallio (FIN) Kalex 40’22.022s 

3.Thomas Luthi (SWI) Suter 40’24.704s 

4.Maverick VInales (SPA) Kalex 40’25.006s 

5.Simone Corsi (ITA) Forward KLX 40’26.793s
----
15. Hafizh Syahrin (MAS) Kalex 41’01.658s

moto2, Hafizh Syahrin, MotoGP, Qatar

Artikel Lain