suria

Piala Sultan Azlan Shah: Bilangan Gol Penentu Ke Final

Pasukan Malaysia berdepan dengan Korea Selatan pada Ahad.

IPOH: Bilangan jaringan bakal menjadi detik penentu siapa di antara Malaysia dan Korea Selatan yang akan mengiringi Australia ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 di sini, Ahad ini.


Perlawanan akhir jadual pusingan awal pada Ahad akan menjadi penentu kepada nasib Malaysia dan Korea Selatan.


Bagi menjamin slot final, Malaysia berada dalam kedudukan tertekan apabila perlu mencapai sekurang-kurangnya keputusan seri ke atas Australia manakala
Korea Selatan perlu mencapai kejayaan besar ke atas Afrika Selatan.

Malaysia kini menghuni tangga kedua dengan 10 mata disusuli Korea Selatan dengan tujuh mata manakala Australia di tangga teratas dengan 12 mata.

Malaysia menjadi naib juara kejohanan itu pada 1985, 2007, 2009 dan 2013 manakala juara bertahan Australia memburu gelaran kelapan sejak kejohanan itu
diperkenalkan pada 1983.

Berdasarkan prestasi dan rekod tanpa kalah Australia, anak buah Muhammad Dharmaraj Abdullah menghadapi laluan sukar untuk mencipta kejutanm malah perlu
memastikan pasukan tuan rumah tidak kalah dengan jurang terlalu besar.

Satu lagi cara untuk Malaysia melangkah ke final ialah jika Korea Selatan tidak menang besar ke atas pasukan tercorot Afrika Selatan.

Sekiranya Malaysia kalah kepada Australia dan Korea Selatan menang ke atas Afrika Selatan, maka perbezaan gol akan menjadi penentu ke final.

Selepas empat perlawanan, Malaysia menjaringkan 15 gol dan bolos lapan manakala Korea Selatan menjaringkan sembilan gol dan membolos jumlah gol yang sama.

Australia pula mengekalkan rekod bersih dengan membenam 25 gol dan hanya membolos satu gol ketika menumpaskan Korea Selatan 5-1, semalam.

"Secara jujur, Australia berada dalam kelas tersendiri dan pertemuan dengan juara bertahan itu merupakan pengalaman hebat kepada Malaysia," kata Dharmaraj.

Beliau berkata anak buahnya perlu memastikan bahawa mereka tidak membolos banyak gol untuk mengintai tempat ke final.

"Australia merupakan pasukan terkuat di sini dan mereka juga bakal beraksi pada Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei ini. Kita tidak mahu kalah dengan jaringan besar," katanya.

Jurulatih Australia, Ric Charlessworth perlu menyifatkan pertemuan dengan tuan rumah di hadapan penyokong sendiri merupakan satu pengalaman menarik bagi pasukannya menjelang Piala Dunia.

"Suasana stadium dengan banyak penyokong tuan rumah sudah tentu akan menghangatkan lagi perlawanan dengan rentak pantas dan penampilan kemahiran individu pemain," katanya.

Pasukan 'Kookaburras' itu telah menjuarai kejohanan itu sebanyak tujuh kali iaitu pada 1983, 1998, 2004, 2005, 2007, 2011 dan 2013. 

Artikel Lain