suria

Indonesia Optimis Bawa Pulang Piala Thomas

Sandaran utama pasukan Indonesia, pasangan beergu terbaik dunia, Mohammad Ahsan and Hendra Setiawan (belakang).
JAKARTA: Dibarisi beregu handalan dunia dengan pelbagai gelaran pada siri kejohanan antarabangsa, skuad badminton Indonesia melaungkan amaran awal betapa Piala Thomas 2014 adalah masa terbaik bagi menamatkan 12 tahun kemarau gelaran pada kejohanan berprestij itu.

Skuad badminton Indonesia bakal diketuai beregu terbaik dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, yang telah menjuarai kejohanan All England baru-baru ini.

Malah, mereka juga memiliki gandingan beregu yang hebat seperti Markis Kido/Marcus Fernaldi Gideon, Angga Pratama/Rian Agung Saputro dan Wahyu Nayaka
Arya Pankaryanira/Ade Yusuf.

"Jika kita tidak dapat membawa pulang Piala Thomas tahun ini, ia akan menjadi lebih sukar pada masa akan datang kerana kebanyakan pemain kini berada
pada prestasi terbaik.

"Pada masa ini, kita mempunyai empat pasangan beregu dan mereka berupaya menyumbangkan dua mata manakala satu lagi mata menerusi acara perseorangan,"
kata legenda badminton Indonesia, Tan Joe Hok.

Tan yang merupakan pemain pertama Indonesia menjuarai All England, optimis Tommy Sugiarto, Dionysius Hayom Rumbaka atau Sony Dwi Kuncoro mampu meraih mata
menerusi acara perseorangan pada kejohanan berpasukan itu.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Prestasi Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI), Rexy Mainaky yakin anak buahnya mampu membawa pulang gelaran Piala Thomas kali ini, namun mereka perlu menampilkan aksi terbaik pada setiap perlawanan.

"Pemain begitu yakin dan kami mempunyai peluang terbaik pada Piala Thomas tahun ini. Kini, bagaimana kita membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan
itu," kata Rexy.

Sejak Piala Thomas diperkenal pada 1949, rekod pencapaian Indonesia adalah yang terbaik dengan meraih 13 gelaran, diikuti China yang menjuarainya sebanyak sembilan kali.

Kali terakhir Indonesia menjuarai Piala Thomas ialah pada 2002 di Guangzhou, China. Selepas itu, China menguasai Piala Thomas dengan muncul juara lima kali
berturut-turut pada 2004, 2006, 2008, 2010, dan 2012.

Piala Thomas 2014 akan berlangsung di New Delhi, India dari 15 hingga 25 Mei.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain