suria

Liga Juara-Juara: Hatrik Van Persie Buat Moyes Lega Seketika

Van Persie melakukan hatrik ketika bertemu Olyimpiacos awal pagi Khamis.

SELEPAS mengharungi saat sukar dan pelbagai kritikan, kini David Moyes boleh melemparkan senyuman seketika selepas menyaksikan anak buahnya menang 3-0 ke atas Olympiacos pada pusingan kedua, 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara di Old Trafford awal pagi Khamis.

Tewas 2-0 di tempat lawan bulan lalu, Manchester United bangkit di laman sendiri mengikat keputusan agregat 3-2.

Robin van Persie bagaikan 'singa lapar' menjaringkan ketiga-tiga gol perlawanan ini bermula dengan sepakan penalti minit ke-25.

Masa tambahan sebelum berakhir separuh masa pertama, Van Persie sekali lagi menyumbat gol selepas menerima bantuan daripada  Wayne Rooney dan Ryan Giggs.

Penyerang Belanda itu sekali lagi menjaringkan gol ketiga United pada minit ke-51 sekaligus memastikan tiket suku akhir berada di genggaman.

"Apa yang tidak mahu katakan ialah keputusan adalah permulaan masa depan kami.

"Banyak perkara yang tidak betul berlaku sejak permulaan musim, dan ini adalah keputusan yang baik, malah ia sangat penting untuk kami menang. Saya tidak boleh katakan bahawa segalanya sudah berubah.

"Saya mempunyai tugas besar di sini, banyak perubahan dan ia memerlukan masa," kata Moyes.

Kemenangan ini sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa kecewa selepas tewas 3-0 kepada Liverpool dalam aksi liga Ahad lalu.

"Kami mungkin bukan pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini. Kami akan ke suku akhir sebagai skuad 'underdog'," tambahnya.

Artikel Lain