Australia, selaku juara bertahan dan memburu gelaran kelapan, menguasai kejohanan ini dengan mengumpul sembilan mata dalam tiga perlawanan selepas mengalahkan China 7-0 dan Kanada 6-0 sebelum ini.
Walaupun turun sebagai pasukan pilihan, Australia menerima tentangan sengit pada awal perlawanan sebelum Trent Mitton membuka tirai jaringan pada minit ke-25.
Gol pembukaan tersebut telah mencetuskan semangat pemain untuk memperkemaskan rentak serangan dengan melakukan dua lagi jaringan menerusi Jamie Dwyer pada minit ke-34 dan seminit kemudian oleh Nicholas Budgeon menerusi pukulan sudut penalti.
Pada babak kedua perlawanan, Australia mula menguasai perlawanan dengan menambah empat lagi gol menerusi Dwyer pada minit ke-46, Chris Ciriello (52'), Daniel Beale (55') dan Mark Knowels menutup tirai jaringan pada minit ke-62.
Walaupun mencipta kemenangan besar namun jurulatih pasukan 'Kookaburras' itu, Ric Charlesworth tidak berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya kerana mensia-siakan banyak peluang dan pergerakan tidak lancar seperti diharapkan.
"Kami membuka banyak peluang tetapi tidak melakukan penyudahan. Situasi seperti ini kadang-kadang berlaku dan kami mahu meneruskan tekanan ke atas pihak lawan," katanya.
Australia akan menentang Korea Selatan Khamis ini sebelum melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang Malaysia, Sabtu ini.
Penjaring: Trent Mitton (min-25'), Jamie Dwyer (34' dan 46'), Nicholas Budgeon (35'), Chris Ciriello (52'), Daniel Beale (55'), Mark Knowels (62').


