suria

Hoki: Cepatkan Pelepasan Pemain - Selvaraj

Arul Selvaraj

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Projek 2016 Arul Selvaraj meminta kelab-kelab hoki mempercepatkan pelepasan pemain mereka yang terlibat dalam projek berkenaan kerana kesuntukan masa untuk menjalani latihan.

Selvaraj yang merupakan penolong jurulatih hoki negara berkata beliau berharap dapat berjumpa dengan skuad projek berkenaan sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

"Saya akan bertemu skuad ini pada hari Isnin hingga Rabu setiap minggu pada waktu-waktu tertentu dan saya harap kelab-kelab akan memberi pelepasan kepada mereka untuk sertai latihan dalam skuad projek 2016 ini.

"Mereka hanya akan jalani latihan ringan sahaja kerana kita tidak mahu mereka mengalami kecederaan, lagipun mereka masih lagi sertai kejohanan hoki dengan kelab masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai nama pemain skuad, Jumaat.

Seramai 25 pemain dipilih menyertai Projek 2016 sebagai persediaan ke Piala Dunia Remaja 2016 di India.

Selvaraj berkata para pemain akan melalui tiga proses pemilihan sebelum terpilih untuk turut serta ke Piala Dunia.

"Tiga proses pemilihan tersebut adalah pada bulan Mac hingga Mei bagi Liga Hoki Remaja Malaysia(MJHL), Liga Hoki Malaysia Divisyen Satu dan Sukan Malaysia (Sukma) pada Jun hingga Ogos serta Piala Hoki Tun Razak pada September hingga Disember," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan senarai pemain, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pemilihan pemain adalah dalam lingkungan usia antara 18 hingga 19 tahun.

"Kita memilih pemain dari usia 18 hingga 19 tahun sebagai persediaan terus ke Piala Dunia 2016, kita sudah kesuntukan masa, kalau kita pilih pemain dalam lingkungan 20 tahun mereka hanya sempat ke Piala Asia sahaja," katanya.-

hoki, remaja, selvaraj

Artikel Sebelum

Artikel Lain