suria

Annuar Harap Anggota FAM Berani

Mohamed Nazri Abdul Aziz (kanan) menerima Jersi Baharu pasukan Kelantan yang tertera namanya daripada Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berharap terdapat keberanian daripada mana-mana anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menawarkan dirimerebut jawatan presiden pada kongres tahunan FAM 25 Mei ini.

Beliau berkata jawatan presiden FAM boleh dicabar mana-mana anggota gabungan berdasarkan statut sedia ada, namun ia tidak berlaku kerana mendakwa segelintir mereka bimbang mendapat kritikan sekiranya gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Saya fikir untuk kali ini, saya harap akan ada keberanian daripada mana-mana anggota gabungan. Tidak memadai dengan sekadar mengeluh sahaja, kalau ada yang berkemampuan mereka harus dicalonkan.

"Bola sepak Malaysia perlukan satu lonjakan yang besar. Masa sudah sampai, bercakap pun sudah lama dan macam-macam sudah kita lalui namun kalau sampai masa pemilihan, kita kembali kepada cara lama, maka tidak akan ada perubahan," katanya.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini, yang dilaporkan sebagai berkata bahawa mereka bersikap terbuka dalam soal pencalonan jawatan presiden FAM.

Beliau sebelum itu ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Fiesta Kelantan 2014 dan pengenalan jersi AFC pasukan yang disempurnakan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di ruang legar Bangunan Mara, pada Ahad.

Annuar, yang merupakan bekas Timbalan Presiden FAM, berkata Sultan Ahmad Shah yang masih menyandang jawatan Presiden wajar memberikan laluan kepada individu lain yang berkebolehan bagi memastikan bola sepak negara dapat melangkah ke hadapan.

"Bagi saya, terlalu banyak sumbangan yang diberikan oleh baginda namun bola sepak ini terlalu 'demanding', Tuanku Presiden sendiri bersedia membuka laluan kepada calon-calon baharu.

"Baginda sudah lakukan apa yang termampu untuk bola sepak Malaysia tetapi kita tidak boleh bergantung kepada masa lepas," katanya.

Selain jawatan presiden, Kongres FAM pada 25 Mei ini turut mempertandingkan kesemua jawatan tertinggi serta 10 kerusi exco termasuk dua jawatan baharu untukcalon wanita bagi penggal 2014-2018.

FAM, annuar, gabungan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain