suria

Selangor Ikat 'Messi Indonesia' Dua Tahun

Andik Vermansah
Andik Vermansah
Andik Vermansah

KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan Indonesia, Andik Vermansah untuk memperkuatkan cabaran pasukan Gergasi Merah bagi menghadapi Liga Malaysia 2014.

Andik, 22, yang juga bekas pemain Persebaya 1927 mengikat kontrak selama dua tahun dan dijangka menyertai skuad Merah Kuning selepas membantu negaranya pada Sukan SEA di Myanmar awal bulan depan.

Pemain bertubuh kecil itu mendapat jolokan 'Messi Indonesia' oleh penyokong negaranya kerana memiliki kelicikan menggelecek bola seperti Lionel Messi, pemain antarabangsa Argentina yang mewakili kelab Liga Sepanyol, Barcelona FC.

Upacara ringkas menandatangani pemain berkenaan di Jakarta, Indonesia, Sabtu, disaksikan oleh pengurus peribadinya, Muly Munial dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim.

"Biarpun beliau (Andik) menerima tawaran dari kelab-kelab dari Jepun, Eropah dan Indonesia sendiri, Andik akhirnya telah memilih untuk menyertai Selangor yang telah menunjukkan kesungguhan dari mula untuk mendapatkan khidmatnya," kata Muly dipetik daripada laman web FAS;www.faselangor.my.

Andik merupakan pemain import ketiga Selangor selepas dua pemain Brazil iaitu bekas penyerang Perak, Paulo Rangel dan Junior Aparecido.

Selangor sebelum ini pernah menggunakan khidmat dua pemain Indonesia iaitu Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas pada 2005 sehingga 2007. - BERNAMA

Artikel Lain