suria

Zulfahmi Perlu Rehat 12 Minggu Untuk Pulih Sepenuhnya - Dr Ramlan

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin tetap akan turun ke litar perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia Jumaat ini walaupun doktor mengesahkan pada Isnin bahawa beliau perlu berehat panjang kemungkinan hingga tiga bulan daripada kecederaan patah tulang.

"Saya akan turun juga menunggang motosikal pada sesi latihan rasmi GP Malaysia. Memang masih rasa sedikit sakit dan saya dinasihatkan supaya tidak berlumba.

"Namun bagi saya, saya yakin saya masih boleh berlumba. Apapun kita kena lihat bagaimana keadaan saya pada sesi latihan rasmi nanti. Daripada situ, saya akan buat keputusan sama ada saya akan dapat berlumba pada GP Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, kebiasaannya kecederaan patah tulang memerlukan tempoh masa antara sembilan hingga 12 minggu untuk pulih.

"Ia bukan kecederaan otot atau tisu lembut. Memandangkan pembedahan telah pun dibuat, ia membantu mempercepatkan proses pemulihan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemeriksaan terhadap kecederaan Muhammad Zulfahmi di ISN di sini, Isnin.

Berdasarkan kepada pemeriksaan yang dijalankan itu, Dr Ramlan berkata, pelumba Moto3 itu dinasihatkan berehat untuk beberapa minggu lagi supaya ISN dapat memberi rawatan yang terbaik, bagaimanapun Zulfahmi memaklumkan kepadanya untuk mengambil risiko turun ke litar Jumaat ini.

"Saya berharap Zulfahmi dapat membuat keputusan yang terbaik selepas membuat ujian dengan motosikalnya pada Jumaat.

"Kata Zulfahmi ia penting untuk memuaskan hati beliau dan melihat sejauh mana beliau boleh beraksi. Bagaimanapun segala tindakan beliau itu adalah atas risiko sendiri," kata Dr Ramlan.

Pelumba Red Bull KTM Ajo yang berusia 21 tahun itu baru menjalani pembedahan di kedua-dua pergelangan tangannya di Hospital Universitario Quirón Dexeus, Barcelona, Sepanyol selepas terbabit dalam kemalangan perlumbaan Grand Prix Aragon minggu lepas.

Sebaik kembali dari Sepanyol, Muhammad Zulfahmi mendapat rawatan susulan di ISN dengan mendapat pemeriksaan daripada pegawai perubatan ISN Dr Kamarul Hashimy Hussien. - BERNAMA

Artikel Lain