suria

Khairy Usaha Dapatkan Semula Status Pusat Doping USM

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan menghadiri persidangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Afrika Selatan, November ini, bagi mendapatkan kembali akreditasi Pusat Kawalan Doping (DCC) Universiti Sains Malaysia (USM).

Khairy berkata jika usaha mengembalikan status DCC sebagai makmal antidoping antarabangsa yang membolehkan ujian doping dijalankan di Malaysia itu berjaya, negara dapat mengurangkan kos penghantaran sampel urin ke luar negara.

"Pada masa sekarang, kita tidak mempunyai hak akreditasi daripada WADA dan terpaksa hantar sampel ujian doping ke Thailand. Ini melibatkan kos yang tinggi, jadi untuk memudahkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), kita akan cuba sedaya upaya dapatkan hak tersebut. "Kita akan memulakan proses mendapatkan akreditasi tersebut secepat mungkin kerana ia adalah penting bagi memastikan atlet berada dalam keadaan bebas dadah pada setiap kejohanan," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, di sini.

DCC kehilangan hak akreditasi itu dua tahun lepas berikutan masalah kekurangan peralatan dan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh WADA untuk menjalankan ujian doping.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz sebelum ini dilapor berkata DCC diperakui oleh WADA sebelum ini dari segi kepakaran dan kecemerlangan seperti yang ditunjukkan mulai 1997 dan ketika penganjuran Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khairy berkata jika akreditasi tersebut diperoleh semula, pihaknya perlu berbincang dengan USM sama ada universiti berkenaan akan meneruskan projek itu ataupun diambil alih oleh ISN. "Ini juga akan mengambil masa yang lama kerana kita juga perlu berbincang mengenai kos peralatan yang tinggi dan jika ISN ambil alih maka kos itu akan berpindah kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan)," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata pelbagai pihak perlu memandang serius tindakan segelintir atlet yang terbabit dengan pengambilan dadah bagi meningkatkan prestasi mereka.

Katanya beliau tidak akan berkompromi terhadap atlet yang didapati terbabit dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu, seperti yang berlaku kepada beberapa atlet olahraga yang tidak menjalani ujian doping sebelum menyertai Sukan SEA 2011 di Indonesia, dan mereka digantung daripada menyertai sebarang kejohanan.

"Saya harap langkah pencegahan dapat dibuat oleh persatuan-persatuan sukan dan ISN untuk memastikan gejala itu tidak berulang pada Sukan SEA di Myanmar (Disember ini)," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain