suria

Skuad Negara Kini Pasukan Pilihan Sukan Sea - Tengku Abdullah

KUANTAN: Kejayaan skuad Harimau Muda A menjuarai Pestabola Merdeka ke-41 semalam diharap dijadikan sebagai salah satu penanda aras prestasi bagi temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata kemenangan 2-0 ke atas Myanmar pada perlawanan akhir itu meletakkan skuad negara sebagai pasukan pilihan dalam Sukan SEA.

"Selaku juara bertahan Sukan SEA, pasukan negara perlu lebih bersedia kerana Myanmar sebagai tuan rumah akan melakukan persediaan yang lebih rapi selepas ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-51 di sini, Ahad.

Tengku Abdullah juga merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menyingkap kembali prestasi skuad Harimau Muda A kendalian jurulatih Ong Kim Swee, Tengku Abdullah berkata beliau berpuas hati dengan permainan pemain dan berharap mereka tidak berasa riak dan ghairah dengan kemenangan itu.

Katanya kejohanan itu telah memberi peluang untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan skuad negara serta dapat melihat keupayaan skuad Myanmar, Singapura dan Thailand.

Biarpun muncul juara, beliau masih menganggap skuad itu mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi Sukan SEA serta kejohanan lain.

Dalam perkembangan berasingan, Tengku Abdullah berharap bandar Kuantan akan menjadi hab sukan untuk pelbagai acara.

Katanya kemampuan bagi penganjuran sukan untuk peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa telah dibuktikan menerusi Pestabola Merdeka ke-41 dan Kejohanan Piala Tun Razak di sini. -BERNAMA

Artikel Lain