suria

Acara Liga Sukan Untuk Semua Ditambah - Khairy

PUTATAN: Kementerian Belia dan Sukan akan memperkenalkan lebih banyak jenis sukan untuk memantapkan lagi penganjuran Liga Sukan Untuk Semua tahun depan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata mengikut perancangan, jenis sukan yang bakal diperkenalkan itu ialah sukan berbasikal dan mempertahankan diri, sebagai tambahan kepada tiga jenis sukan sedia ada iaitu futsal, bola jaring dan sepak takraw.

Beliau berharap liga tersebut dapat membudayakan sukan untuk semua masyarakat di seluruh negara melalui penglibatkan mereka dalam pelbagai jenis sukan popular dan seterusnya menggalakkan masyarakat bersukan secara berterusan.

Selain itu, katanya liga sukan itu juga bermatlamat meningkatkan kepakaran, kesukarelawan tempatan dan melatih masyarakat tempatan dalam melaksanakan aktiviti sukan.

"Tahun depan kita masukkan sukan berbasikal dan sukan mempertahankan diri sebagai komponen utama bagi Sukan Liga Sukan Untuk Semua.

"Ini perubahan yang kita buat kerana saya melihat sukan berbasikal semakin popular terutama di kawasan bandar dan penglibatan dalam sukan itu adalah berbilang kaum," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Liga Sukan Untuk Semua peringkat negeri Sabah di Kompleks Belia dan Sukan dekat sini Sabtu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Mohd Dahali Matsin.

Liga itu yang akan berlangsung selama dua hari disertai lebih 3,000 peserta dari seluruh Sabah termasuk dari daerah Tawau, Sandakan, Kudat, Keningau, Pantai Barat dan Beaufort.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata liga sukan itu penting bagi mengakarumbikan sukan di setiap kawasan termasuk di luar bandar dan pedalaman.

"Sukan amat penting dan harus dibudayakan. Kita berharap setiap anak di negara ini mesti aktif sekurang-kurangnya satu jenis sukan, sebab itu kita ada dasar 1Murid 1Sukan di sekolah.

"Mungkin bagi sekolah di kawasan pedalaman, agak sukar untuk melaksanakannya, namun Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan dan Negeri di negeri ini akan berusaha untuk membantu dan memupuk budaya bersukan di kalangan anak-anak muda supaya bergiat aktif dalam sukan," katanya.

Khairy turut mengakui Sabah mempunyai bakat-bakat yang besar dalam bidang sukan dan berharap bakat mereka dapat digilap seterusnya mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - BERNAMA

Khairy Jamaluddin, Liga Sukan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pemain Termahal Eropah Musim Ini

Artikel Lain