suria

Piala Asia Medan Skuad Hoki Negara Lakar Sejarah

IPOH: Malaysia wajar memanfaatkan sepenuhnya Kejohanan Hoki Piala Asia di sini bagi memburu tempat ke Piala Dunia 2014 tanpa mengharapkan ihsan baki slot daripada benua lain.

Secara matematik, Malaysia, yang berada dalam senarai menunggu ketiga, sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia di The Hague, Belanda.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Paul Revington hanya menunggu pengumuman rasmi Persekutuan Hoki Dunia (FIH) selepas semua kejohanan antara benua menamatkan saingan masing-masing.

Mengikut format FIH, sekiranyanya pasukan yang layak ke Piala Dunia menerusi pertandingan Liga Dunia baru-baru ini menjuarai kejohanan benua masing-masing, maka slot itu akan diberikan berdasarkan urutan ranking Liga Dunia.

Pada Liga Dunia di Johor Baharu baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat kelima selepas mengalahkan Jepun 4-3 menerusi pukulan penalti.

Kali terakhir skuad kebangsaan layak ke Piala Dunia ialah pada tahun 2002 di Kuala Lumpur dengan meraih tempat kelapan dan pencapaian terbaik Malaysia pada siri itu ialah tempat keempat pada edisi 1975.

Biarpun skuad negara berpeluang cerah beraksi di Piala Dunia 2014 namun Piala Asia yang bermula di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah esok masih menjadi keutamaan untuk skuad negara layak secara automatik.

Juara Piala Asia di sini layak ke Piala Dunia 2014.

Pada Piala Asia 2013, Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama juara tiga kali, Pakistan, Taiwan dan Jepun manakala juara bertahan Korea Selatan, yang sudah layak ke Piala Dunia, mengetuai cabaran dalam Kumpulan B bersama juara dua kali, India, Oman dan Bangladesh.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Taiwan esok diikuti Pakistan (Ahad) dan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Jepun pada 27 Ogos ini.

Dua pasukan terbaik dalam kumpulan akan mara ke saingan separuh akhir.

Kelebihan beraksi di halaman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad negara dalam memburu bukan sahaja tiket Piala Dunia 2014 tetapi juga melakarkan sejarah dalam merangkul kejuaraan buat julung kali.

Selain itu, kehilangan tonggak utama Chua Boon Huat, yang maut akibat kemalangan jalan raya 1 Ogos lepas, bakal menjadi pembakar semangat buat pasukan yang mahu menghadiah kejuaraan itu buat mendiang yang terlalu ingin melihat skuad kebangsaan layak ke Piala Dunia.

Kapten pasukan, Mohd Sharun Nabil Abdullah berkata misi ke Piala Dunia masih belum berakhir biarpun secara matematik negara sudah layak ke Belanda tahun depan. Pemain berusia 28 tahun itu berkata skuad negara perlu membuktikan pada Piala Asia terlebih dahulu sebelum memikirkan Piala Dunia.

"Sasaran kami adalah untuk mencipta sejarah sebagai juara Piala Asia kerana Malaysia belum pernah memenanginya," katanya.

Jadual Piala Asia 2013:

Kumpulan A: MALAYSIA, Pakistan, Taiwan, Jepun

B: Korea Selatan, India, Oman, Bangladesh. 24 Ogos: India mln Oman; Pakistan mln Jepun; MALAYSIA mln Taiwan

25 Ogos: Korea Selatan mln Bangladesh; Jepun mln Taiwan; Pakistan mln MALAYSIA

26 Ogos: Bangladesh mln Oman; India mln Korea Selatan,

27 Ogos: Pakistan mln Taiwan; Jepun mln MALAYSIA.

28 Ogos: Korea Selatan mln Oman; India mln Bangladesh

29 Ogos: REHAT

30 Ogos: Perlawanan Tempat 5/8; Separuh Akhir 1 & II

31 Ogos: Perlawanan tempat 5/6, 7/8

1 September: Perlawanan 3/4; AKHIR.

-BERNAMA

Artikel Lain