suria

Atlet Paralimpik Terima Insentif Sama Seperti Atlet Lain - Khairy

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa atlet paralimpik negara akan menikmati insentif sama seperti atlet lain di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Beliau berkata pemberian insentif sama rata akan diberikan mengikut kategori kejohanan seperti Kejohanan Remaja, Sukan Asia dan Sukan Olimpik tanpa mengikut kategori paralimpik atau atlet biasa.

Menurutnya keputusan pemberian insentif tanpa perbezaan antara atlet paralimpik dengan atlet lain disifatkan wajar selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kesungguhan mereka beraksi dalam pelbagai kejohanan.

Khairy berkata insentif sama dengan atlet lain diharap akan membakar semangat semua atlet paralimpik untuk beraksi pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan temasya Sukan Para Remaja Asia Malaysia 2013 (AYPG 2013) di sini hari ini. Sukan AYPG 2013 akan diadakan dari 26 hingga 30 Okt ini.

Pada sidang media kemudian, Khairy berkata tidak ada perbezaan antara atlet paralimpik dan atlet lain kerana mereka turut menyarung jersi kebangsaan dan bertanding di peringkat tertinggi.

"Dalam kes Muhammad Ziyad, yang meraih pingat emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, 22 Julai lepas, ia (memperlihatkan) usaha dan pengorbanannya sama seperti atlet biasa," katanya.

Berikutan kejayaan itu, Khairy berkata kementerian akan memberikan ganjaran sewajarnya kepada Muhammad Ziyad yang dijangka diadakan dalam satu majlis selepas Aidilfitri.

"Berapa (jumlahnya), biar saya beritahu dia dahulu. Tetapi ia sama dengan ganjaran kepada atlet biasa dalam kejohanan bertaraf antarabangsa kelas A," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berharap AYPG 2013 akan menjadi pentas terbaik untuk atlet remaja atau pelapis untuk mengetengahkan bakat mereka, selain sebagai persediaan mengharungi Sukan Paralimpik Asia tahun depan.

Sukan Paralimpik Asia 2014 di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini dijangka disertai lebih 2,000 atlet dari 42 negara yang bernaung di bawah Jawatankuasa Paralimpik Asia.

Sebanyak 14 jenis sukan bakal dipertandingkan antaranya olahraga, memanah, boccia, renang, badminton, ping pong dan bola keranjang berkerusi roda, berbanding hanya lima sukan pada temasya lepas di Tokyo pada 2009.

Terdahulu pada majlis itu, Khairy turut melancarkan logo, tema dan laman web temasya itu. Turut hadir Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin.-BERNAMA

Artikel Lain