suria

Hentikan Eksperimen, Tumpu Keserasian Antara Pemain - Tengku Abdullah

KUANTAN: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menumpukan perhatian kepada usaha memantapkan pemain kesebelasan utama negara, daripada melakukan eksperimen terhadap skuad bola sepak kebangsaan.

Baginda berkata, jurulatih itu sewajarnya menurunkan semua pemain terbaik dalam perlawanan penting agar persefahaman antara pemain dapat dimantapkan sekali gus meraih kejayaan.

"Sepatutnya, kini bukan lagi waktu sesuai untuk jurulatih terus melakukan eksperimen. Kalau terus bereksperimen, sampai bila kita mahu mendapatkan keserasian antara pemain.

"Jadi, saya harap Rajagobal dapat membuat memilih pemain yang terbaik menjelang perlawanan kelab Barcelona pada 10 Ogos depan," katanya.

Baginda berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Rakan Muda Ramadan Peringkat negeri di Masjid Kampung Pandan 2, dekat sini, Sabtu.

Tengku Abdullah berkata, prestasi pasukan kebangsaan ketika aksi persahabatan sejak kebelakangan ini dilihat amat mengecewakan dan sesuatu perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah itu.

"Saya pun tidak pasti kenapa aksi pasukan kita sejak kebelakangan ini seolah-olah tidak menjadi. Saya rasa K. Rajagobal kena pastikan kesebelasan pilihan beliau sekarang dan mula mencari persefahaman serta keserasian di antara pemain dipilihnya itu.

"Beliau pun ada strateginya dan kalau tengok pada aksi menentang Chelsea... memang K.Rajagobal masih banyak mencuba pemain. Tapi, apabila beraksi dalam permainan bertaraf tinggi, kita perlu ada pemain utama dan jika mahu lakukan eksperimen... kena buat sebelum itu," katanya.

Aksi pasukan Harimau Malaya terus menjadi tumpuan selepas mempamerkan persembahan mengecewakan pada perlawanan persahabatan menentang Chelsea FC Isnin lalu.

Dalam aksi persahabatan di Jepun pula, skuad bimbingan K Rajagobal tewas 2-0 pada perlawanan pertama menentang kelab Divisyen Satu, Shimizu Pulse, Khamis lalu, sebelum sekali lagi diaibkan apabila tunduk 0-5 pada aksi menentang satu lagi kelab Divisyen Satu Liga Jepun, Shonan Bellmare. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain