KAZAN: Skuad hoki negara kembali menghidupkan peluang selepas mengenepikan Itali 4-1 pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27 yang berlangsung di Field Hockey Centre di sini, Khamis.
Namun pasukan lawan membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Andrea Corsi.
Skuad negara kemudiannya bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-17.
Di babak kedua, pemain negara Dangerous Lee menjaringkan gol kedua buat Malaysia, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Malaysia terus memberi tekanan kepada Itali apabila Dangerous Lee menghasilkan satu lagi gol pada minit ke-44.
Muhammad Razie memberi kedudukan selesa kepada pasukan negara untuk jaringan keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-55.
Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan pula Sabtu ini.
Pada Ahad lepas, Malaysia menang 7-1 ke atas Poland, tetapi kalah 1-4 kepada tuan rumah pada perlawanan kedua mereka pada Rabu. - BERNAMA


