suria

Universiade: Kim Swee Beri Amaran Kepada Harimau Muda A

KAZAN: Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee memberi amaran kepada anak buahnya supaya lebih berdisiplin di atas padang supaya tidak menjejaskan peluang pasukan pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27.

Beliau berkata skuad bola sepak universiti negara perlu lebih berhati-hati kerana sebarang kesilapan boleh meranapkan impian mereka pada temasya berkenaan.

"Saya beri amaran kepada setiap pemain. Perkara ini (dilayangkan kad merah) sepatutnya tidak menjadi kebiasaan yang akan memudaratkan pasukan kita pada masa akan datang.

"Pemain perlu tahu apabila ada antara mereka dikenakan kad merah, ini akan menyusahkan pasukan," katanya kepada pemberita di sini.

Skuad negara yang dibarisi 16 pemain sebelum ini, berdepan ujian getir apabila penjaga gol utama, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan pemain tengah Syahrul Azwari Ibrahim dibuang padang ketika Malaysia mengejutkan Itali 2-0 pada aksi pembukaan Jumaat lepas.

Pada perlawanan menentang Great Britain semalam, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria turut dilayangkan kad merah. Skuad Harimau Muda A tewas 0-2 kepada Great Britain.

Selain itu, penganjur Universiade juga tidak membenarkan dua pemain - Muhd Nazri Ahmad dari Johor Darul Takzim dan Junior Estadal dari Sarawak disenaraikan dalam skuad Harimau Muda A menyebabkan skuad universiti negara terpaksa beraksi dengan 13 pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Malaysia dijadual menentang Algeria pada Rabu. Bagaimanapun negara berkenaan tidak muncul pada perlawanan pertama menentang Great Britain pada Jumaat lepas.

Malaysia disenarai dalam kumpulan C bersama-sama Itali, Great Britain dan Algeria.-BERNAMA-

Artikel Lain