suria

Tiket Liga-M Mungkin Dicetak Nombor Tempat Duduk - FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mencetak nombor tempat duduk pada tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dalam usaha membendung kegiatan ulat tiket dan tiket palsu.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram berkata cadangan tersebut akan dikaji dan diperhalusi oleh jawatankuasa itu dalam usaha memperbaiki sistem penjualan tiket.

Beliau berkata FAM memandang serius insiden kekecohan penonton berhubung penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di kedua-dua negeri tersebut, beberapa hari sebelum perlawanan Sabtu lepas.

"Apa yang berlaku akan kita jadikan sebagai pengalaman dalam menangani isu berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini Isnin.

Selain kekecohan penonton mendapatkan tiket, penyokong Johor DT dilaporkan mengalami kerugian RM162,600 setelah menjadi mangsa penipuan pihak ketiga yang mendakwa boleh membekalkan sebanyak 3,165 tiket perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sivasundram berkata FAM tidak pernah melantik atau membekalkan tiket secara pukal kepada pihak ketiga, sebaliknya urusan penjualan tiket dikendaliksan oleh FAM dan persatuan bola sepak negeri sahaja.

Bagi perlawanan akhir Piala FA, katanya, FAM mencetak 87,000 tiket dan menyerahkan masing-masing 30,000 tiket kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor.

Katanya baki 27,000 tiket dijual di lapan kaunter di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Penyokong pasukan sepatutnya mendapatkan tiket menerusi persatuan bola sepak negeri masing-masing. Bagi individu pula, kita hadkan seorang hanya dibenarkan membeli maksima empat tiket," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung kegiatan sindiket ulat tiket perlawanan bola sepak di negara ini daripada berleluasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyokong cadangan supaya tiket bagi menyaksikan perlawanan Liga-M dicetak dengan nombor tempat duduk bagi mengelak penyokong tertipu.

Beliau berkata sistem itu telah diperkenalkan di beberapa negara dan tidak salah jika ia diguna pakai di negara ini jika ia memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Mungkin pelaksanaan idea ini perlu dilakukan secara berperingkat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain