suria

FAM Pandang Serius Insiden Bakar Mercun Dan Suar

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius tindakan penyokong membakar mercun dan menyalakan suar ketika perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan insiden itu sepatutnya tidak berlaku kerana bahan tersebut dilarang daripada dibawa masuk ke stadium kerana ia boleh membahayakan penonton.

"FAM memandang serius perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan petugas FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya dekat sini, Isnin.

Akhbar hari Isnin melaporkan perlawanan akhir itu bagaikan pesta membakar mercun dan menyalakan suar apabila penyokong kedua-dua pasukan berbuat demikian dan dilihat boleh mengundang bahaya kepada penonton.

Malah, menurut penonton yang berada di stadium itu, tiada pengumuman dibuat bagi memberi amaran kepada mereka yang membakar mercun dan menyalakan suar.

Pada 28 Julai, 2011, seorang peniaga, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 31, buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton semasa perlawanan pra Olimpik antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

FAM kemudian dikenakan hukuman denda RM15,820 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana 'gangguan penonton'.

Hamidin, yang hari ini memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu, memberi jaminan akan berusaha membendung gejala itu walaupun mengakui ia bukan tugas mudah.

"Kita memang ada periksa penonton secara rambang (bagi memastikan mereka tidak membawa mercun dan suar) tetapi nak bendung sepenuhnya memang sukar walaupun ramai petugas keselamatan ditempatkan di dalam stadium.

"Keadaan pagar stadium yang berlubang terutama di tempat-tempat sunyi (yang tidak ramai orang) juga mungkin menyebabkan bahan-bahan ini (mercun dan suar) boleh dibawa mausk ke dalam stadium.

"Jadi selepas ini kita akan pastikan pagar yang berlubang dibaiki," katanya.

Menurutnya, mereka telah memaklumkan kepada persatuan bola sepak negeri supaya memastikan penyokong masing-masing tidak melakukan perbuatan membakar mercun dan menyalakan suar.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kelab Penyokong Johor Azman Jali meminta FAM dan pihak keselamatan membuat pemeriksaan lebih ketat bagi memastikan tiada penyokong membawa mercun dan suar ke dalam stadium.

Beliau berkata walaupun difahamkan tiada penonton yang cedera akibat insiden itu, ia perlu dibendung bagi mengelak kejadian tidak diingini pada perlawanan akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain