suria

Wimbledon: Murray Singkir Robredo, Mara Ke Pusingan Keempat

PEMAIN tenis no.2 dunia, Andy Murray mara ke pusingan keempat selepas menewaskan Tommy Robredo,6-2 6-4 7-5 pada aksi ketiga di Wimbledon awal pagi Sabtu.

Murray menang straight set ke atas pemain ke-29 dunia dari Sepanyol itu sekali gus memberi harapan kepadanya untuk terus mencatat kemenangan sebelum mara ke final memandangkan dua pencabar utamanya, Roger Federer dan Rafael Nadal telah tersingkir sebelum ini.

Pun begitu, Murray terpaksa berdepan dengan pemain Rusia, Mikhail Youzhny ataupun pemain Serbia Victor Troicki yang dilihat bakal memberi saingan sengit kepadanya dalam aksi seterusnya selepas ini.

Sedar dengan cabaran yang menunggunya, Murray sekadar meletak sasaran untuk mara ke final.

"Saya dapat rasakan tekanan telah bermula. Banyak laporan akhbar yang kebanyakannya tidak membantu.

"Kamu perlu jadi cukup profesional agar sesetengah perkara tidak mengganggu permainan dan yang penting perlu fokus kepada setiap perlawanan,"jelasnya.

Murray merupakan pemain yang mempamerkan aksi konsisten sepanjang aksi Grand Slam, dan hanya sekali sahaja terkandas di peringkat separuh akhir pada Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 2010.

Andy Murray, Tommy Robredo, Wimbledon

Artikel Lain