suria

Andrew Mok, Laura Simon Cemerlang Hari Pertama Sukma 2013

KUALA LUMPUR: Atlet lawan pedang Wilayah Persekutuan Andrew Mok Vern-Han meraih pingat emas pertama Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 apabila mengungguli acara foil individu lelaki di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, Khamis.

Penyandang juara Sukma 2011 itu beraksi cemerlang untuk mengenepikan rakan sepasukan, Syed Adil Emir Putra Syed Aidi yang meraih pingat perak dengan kemenangan 15-8.

Pingat gangsa acara itu milik bersama atlet Johor, Muhammad Aqil Anuar dan Izzul Syawal Syamsuddin dari Perak.

Andrew, 19, menyifatkan pencapaian itu adalah kejayaan bersama yang perlu dikongsi bersama rakan sepasukan.

"Kejayaan ini juga saya tujukan kepada kedua ibu bapa, rakan serta penyokong kontinjen Wilayah Persekutuan yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Beliau berkata fokusnya selepas Sukma kali ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan berharap Majlis Sukan Malaysia akan memilih saya sebagai atlet kebangsaan," katanya, yang kini bernaung di bawah kelab lawan pedang persendirian, Touche'.

Andrew berkata impiannya adalah untuk menjadi atlet bertaraf dunia seperti idolanya, Sheng Lei dari China yang merupakan pemenang pingat emas di Olimpik London 2012 dalam acara sama.

Sementara itu, pingat emas bagi acara epee individu wanita dimenangi atlet Sabah, Laura Simon selepas mengecewakan Nur Aina Jalil dari Johor yang meraih pingat perak dengan kemenangan 15-13.

Pingat gangsa dikongsi bersama Noorazeera Adeera Noor Jali dari Negeri Sembilan dan atlet Perak, Nor Syazasaffa Mahyuddin.

Laura berkata beliau gembira dengan kejayaan tersebut kerana ia merupakan Sukma terakhir baginya setelah mula menyertai temasya dwitahunan itu pada 2006.

"Setelah menanti selama lapan tahun, akhirnya saya berjaya meraih pingat emas pertama di Sukma dan ia cukup bermakna bagi saya," katanya bahawa beliau akan terus aktif dalam sukan lawan pedang di peringkat antarabangsa.

Menurutnya 2013 adalah tahun bertuah bagi dirinya selepas meraih, masing-masing satu pingat emas di Kejohanan Dunia di Shenzhen, China pada bulan lepas dan Kejohanan Terbuka Hong Kong, dua minggu lepas.

Selain acara akhir lawan pedang kategori epee lelaki dan sabre wanita, temasya hari kedua esok bakal menyaksikan pusingan awal acara polo air, bola jaring, bola keranjang dan kriket. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain