suria

Azzuddin Mula Tugas Setiausaha Agung AFF 1 Julai Depan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad kini secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) bermula 1 Julai ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azzuddin berkata beliau menerima surat pelantikan tersebut bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel, daripada Presiden AFF Sultan Ahmad Shah pada Ahad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media yang telah memberi kerjasama dan bantuan kepadanya terutama dari segi liputan sukan bola sepak negara sejak menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM pada 17 September 2007.

"Saya mengambil iktibar daripada semua kritikan yang membina dan menerima semua kritikan negatif dengan hakikat bahawa dalam apa jua isu wujudnya pendapat dan fahaman yang berlainan.

"Seterusnya, saya memohon ribuan maaf sekiranya dalam (memegang) jawatan Setiausaha Agung FAM, saya terkasar bahasa dan tersalah laku terhadap mana-mana pihak," katanya yang berharap mendapat kerjasama dan bantuan semua pihak dalam jawatan baharunya kelak.

Sepanjang berkhidmat di FAM, Azzuddin pernah memegang beberapa jawatan penting badan induk bola sepak negara itu, antaranya sebagai Anggota Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).

Sebelum ini, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin disebut-sebut sebagai calon pilihan dan dikaitkan dengan 'kerusi panas' yang akan ditinggalkan Azzuddin itu.

Namun, sehingga kini belum ada pengesahan daripada FAM berhubung perkara itu. - BERNAMA

Artikel Lain