suria

Skuad Kebangsaan Galas Tugas Besar Kekalkan Kejuaraan Bola Jaring Remaja Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring remaja kebangsaan bakal menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan gelaran juara kekal milik mereka pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia Ke-8 di Brunei bulan depan. Skuad itu kini memburu gelaran juara kali kelima selepas mengungguli kejohanan itu empat kali berturut-turut pada edisi 2004 di Sri Lanka, 2006 dan 2010 (India) serta 2008 di Hong Kong.

Pasukan yang mendapat bimbingan jurulatih kebangsaan Choo Kon Lee itu sedang menjalani latihan pendedahan di Singapura sejak 19 hingga 23 Jun ini sebelum meneruskan perjuangan mereka di kejohanan dwitahunan itu pada 30 Jun hingga 7 Julai ini di Brunei.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Mazidah Musa berkata pasukan yang terdiri daripada 12 pemain itu mempunyai potensi yang baik pada peringkat Asia.

"Pada peringkat ini, kita tumpukan kepada peringkat Asia dengan menjadi juara berturut-turut sebanyak empat kali, mungkin suatu hari nanti kita akan berpotensi di peringkat dunia pula," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Katanya pasukan remaja kebangsaan sudah dilengkapkan dengan persiapan yang cukup untuk memastikan skuad negara kekal juara.

"Mereka telah menjalani latihan sejak tahun lepas dan pendedahan yang lebih besar serta penting kami serapkan kepada mereka di Singapura seperti bersaing dengan pasukan negara itu, di mana mereka boleh belajar memperbaiki mutu permainan," katanya.

Mazidah berkata adalah penting bagi skuad remaja kebangsaan mengekalkan kejuaraan untuk menaikkan nama Malaysia dalam sukan bola jaring di peringkat dunia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain