suria

Hoki: Lima Muka Baharu Sertai Skuad Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Lima muka baharu adalah antara 26 pemain dipanggil untuk menyertai skuad hoki kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Asia dan Kejohanan kelayakan Hoki Piala Dunia 2014 di Belanda.

Ketua jurulatih hoki negara, Paul Revington membuat keputusan mengejut apabila menyenaraikan dua pemain muda iaitu Ahmad Kazamirul Nasruddin dan Meor Muhammad Azuan Hassan untuk menggalas cabaran besar itu.

Selain penjaga gawang pasukan hoki Terengganu Khairulnizam Ibrahim, dua pemain berpengalaman iaitu Kapten pasukan Sapura, Azreen Rizal Nasir dan penyerang berbisa pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Firhan Ashaari kembali dipanggil untuk memperkasa barisan skuad hoki kebangsaan.

"Saya mencari elemen berbeza apabila memilih anggota skuad dan saya melihat mereka sebagai calon yang ideal," katanya kepada pemberita.

Revington membuat keputusan mengejut apabila tidak menyenaraikan bekas ketua pasukan kebangsaan junior, Muhammad Noor Faeez Ibrahim dalam skuad kebangsaan dengan alasan tersendiri.

"Dia (Muhammad Noor Faeez) telah diberikan peluang untuk menunjukkan prestasi sejak Oktober tahun lepas dan selepas lapan bulan saya rasa dia masih perlu banyak belajar. Dia kekurangan kriteria tertentu tapi kita akan memantau beliau dengan rapi," kata Revington.

Bagi menempah tiket ke Piala Dunia itu, skuad kebangsaan terlebih dahulu perlu melepasi dua halangan besar iaitu Liga Dunia pusingan separuh akhir dari 29 Jun hingga 3 Julai di Johor, dan Piala Asia di Ipoh, Perak dari 23 hingga 31 Ogos.

"Untuk mendapat tempat dalam Piala Dunia daripada Liga Dunia adalah sasaran utama kita dan jika semuanya mengikut perancangan, kita akan terus berusaha dan memenangi Piala Asia dan mengekalkan momentum," katanya.

Kali terakhir skuad kebangsaan layak ke Piala Dunia ialah pada 2002 di Kuala Lumpur dengan menduduki tempat kelapan, dan pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia adalah tempat keempat pada 1975.

Sebagai rekod, Kejohanan Hoki Piala Dunia merupakan sebuah kejohanan yang dianjurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa setiap empat tahun bagi menentukan pasukan hoki terbaik dunia dan ia mula diperkenalkan pada tahun 1971.

Hanya dua belas pasukan hoki terbaik sahaja yang akan layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu di Hague, Belanda tahun ini.

Senarai nama skuad hoki kebangsaan

1. Ahmad Kazamirul Nasruddin (muka baharu)

2. Azlan Miron

3. Azreen Rizal Nasir (muka baharu)

4. Baljit Singh Charun Singh

5. Chua Boon Huat

6. Faiz Helmi Jali

7. Faizal Saari

8. Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin

9. Jivan Mohan

10. Khairulnizam Ibrahim (muka baharu)

11. Kumar Subramaniam

12. Meor Muhamad Azuan Hassan (muka baharu)

13. Mohamad Sukri Abdul Mutalib

14. Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin

15. Mohd Fitri Saari

16. Mohd Shahrun Nabil Abdullah

17. Muhamad Amin Rahim

18. Muhammad Azammi Adabi

19. Muhammad Firhan Ashaari (muka baharu)

20. Muhammad Ramadan Rosli

21. Muhammad Marhan Mohd Jalil

22. Muhammad Razie Abdul Rahim

23. Nabil Fiqri Mohd Noor

24. Norhizzat Sumantri

25. Roslan Jamaluddin

26. Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain