suria

Ferguson Bersara Selepas 27 Tahun Uruskan United

Ferguson bakal bersara selepas 27 tahun mengendalikan skuad United penghujung musim ini.
Ferguson bakal bersara selepas 27 tahun mengendalikan skuad United penghujung musim ini.
Ferguson bakal bersara selepas 27 tahun mengendalikan skuad United penghujung musim ini.

SIR Alex Ferguson mengambil keputusan untuk bersara sebagai pengurus Manchester United selepas hampir 27 tahun mengendalikan skuad itu.

Dengan kejayaan kelab meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ke-20 musim ini, ia bakal menjadikan kenangan luar biasa bagi semua pemain serta penyokong-penyokong kelab ini.

Ferguson,71, mula menguruskan United pada tahun 1986 dengan mencatat kejayaan cemerlang di bawah kendaliannya; meraih dua trofi Liga Juara-Juara, Piala Juara-Juara UEFA, 13 kali juara EPL (termasuk musim ini), lima trofi Piala FA dan empat kali juara Piala Liga sekaligus menjadikan beliau seorang pengurus paling sukses dalam sejarah bola sepak Britain.

Spekulasi mengenai persaraan ini tersebar selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web kelab (www.manutd.com) dan melalui twitter: "Sir Alex Ferguson bersara,#terimakasihsiralex".

"Keputusan untuk bersara adalah satu perkara yang telah saya fikirkan dan saya tidak ambil mudah mengenainya. Ini adalah masa yang sesuai," jelas Ferguson.

Ferguson yang bakal menjalankan pembedahah pinggul musim panas ini berkata, "Ia penting bagi saya meninggalkan kelab ini dalam posisi yang kuat dan percaya saya telah melakukannya.

"Dengan kualiti skuad menjuarai liga, serta keseimbangan pemain akan terus sukses hingga ke peringkat tertinggi.

"Tambahan pula perancangan jangka panjang skuad muda akan menjadikan kelab ini akan terus berjaya.

"Kemudahan latihan yang ada di sini adalah yang terbaik dan Old Trafford adalah tempat yang tepat untuk dijadikan venue di dunia.

"Perancangan masa depan, saya gembira untuk memegang peranan sebagai pengarah dan duta bagi kelab ini. Dengan peranan tersebut serta minat yang ada, saya bersedia.

"Saya perlu memberi penghargaan kepada keluarga saya yang telah memberi sokongan sehingga kini.

"Isteri saya, Cathy merupakan kunci utama karier saya ini."

Tambah Ferguson: ""Kepada pemain-pemain dan pegawai pasukan saya, sebelum atau sekarang, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana telah sama-sama membawa pasukan hingga ke peringkat profesional.

"Dengan dedikasi mereka ini, ia telah membawa banyak kemenangan bermakna. Tanpa mereka, kelab ini tidak akan menjadi sejarah serta tidak akan menjadi kaya.

"Pada awal tahun saya di sini, ahli lembaga kelab, Sir Bobby Charlton telah memberi saya keyakinan dan masa untuk 'membina' kelab ini, bukan sahaja tertumpu kepada pasukan.

"Selepas sedekad, keluarga Glazer telah menyediakan landasan kepada saya untuk menguruskan Manchester United ke tahap yang terbaik. Malah turut berbangga dengan kerjasama yang diberikan oleh Ketua Eksekutif kelab, David Gill.

"Kepada penyokong-penyokong kelab, terima kasih. Sokongan yang telah anda berikan selama ini amat bermakna. Ia satu penghargaan dan kelebihan kepada kelab untuk berada di kemuncak ketika mengendalikan Manchester United."

Ferguson bakal menguruskan skuad kali terakhir musim ini dengan dua lagi baki perlawanan liga bertemu Swansea City (12 Mei) dan West Bromwich pada 19 Mei ini.

Artikel Lain