suria

Chong Wei Wakil Tunggal Negara Ke Separuh Akhir Terbuka India

NEW DELHI: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan masa 34 minit untuk melangkah ke separuh akhir manakala dua beregu negara tersingkir pada Kejohanan Yonex Sunrise Terbuka India 2013 di sini Jumaat.

Selaku pilihan utama, Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain tuan rumah dari pusingan kelayakan, H.S.Prannoy dari India dengan 21-14, 21-19 pada perlawanan suku akhir.

Chong Wei, yang juga pemain nombor satu dunia, akan berdepan dengan pemain nombor tujuh dunia, Ponsana Boonsak dari Thailand pada separuh akhir esok.

Sebelum itu, Ponsana mengalahkan pemain India R.M.V. Gurusaidutt dengan keputusan 21-12, 11-21, 21-12.

Bagaimanapun, beregu emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong gagal melepasi peringkat suku akhir apabila dikecewakan oleh beregu Korea Selatan Kim Ki Jung/Kim Sa Rang dengan keputusan 21-19, 21-14.

Sementara itu, nasib malang turut menimpa beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying apabila tewas buat pertama kali dalam empat pertemuan dengan pasangan Poland, Mateusiak Robert/Zieba Nadiezda.

Pertarungan selama 36 minit itu menyaksikan pasangan Poland itu mencipta keputusan 21-13 dan 21-18 untuk bertemu pilihan utama, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir dari Indonesia pada peringkat separuh akhir. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain