suria

Cub Prix: Fariznazreen Mahu Tebus Kesilapan

PELUMBA Mos Track Pro Yamaha Racing, Nurahmad Fariznazreen Faizulneezam Yeap (gambar) mempunyai misi untuk merapatkan jurang dengan pendahulu dalam kategori Wira menjelang pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, hujung minggu ini.

Walaupun berjaya muncul naib juara pada pusingan lepas di Stadium Batu Kawan, Fariznazreen menagu prestasinya masih belum cukup memuaskan apabila dia sekadar memulakan perlumbaan di petak keenam dan menamatkan perlumbaan 5.108 saat di belakang juara, Mohd Hafiza Rofa (Warner Pumps – YSP).

Pelumba 17 tahun itu percaya jurang masa sehingga lima saat menunjukkan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum dia mampu meletakkan dirinya sebagai antara pelumba pilihan untuk merebut mahkota Wira musim ini.

“Jurang lima saat ini sebenarnya agak jauh. Ia bukan disebabkan masalah enjin sebaliknya kerana saya gagal beraksi dengan baik pada sesi kelayakan. Mujurlah saya dapat bermula dengan baik pada perlumbaan akhir dan berjaya berada di kelompok hadapan.

“Walau bagaimanapun, saingan di barisan hadapan cukup sengit. Saya terpaksa bekerja keras untuk melepasi Mohd Syafiq Rosli dan Mohd Shafiq Rasol.

"Selepas berjaya melepasi mereka saya cuba untuk mengejar Hafiza namun jurang kedudukan kami sudah begitu jauh. Sebenarnya, saya cukup bernasib baik kerana dapat menaiki podium setelah hanya memulakan perlumbaan dari barisan kedua. Cuma, saya tidak boleh bergantung kepada nasib sahaja pada masa akan datang," katanya.

Tidak mahu mengulangi kesilapan lepas, Fariznazreen optimis dia mampu beraksi dengan lebih baik pada perlumbaan di Melaka minggu ini.

“Kami telah melakukan persediaan secukupnya untuk perlumbaan minggu ini. Pasukan saya telah menyediakan jentera yang cukup kompetitif dan saya percaya ia dapat membantu saya untuk menguasai elemen-elemen perlumbaan.

"Saya sendiri juga perlu meningkatkan lagi kemahiran supaya dapat memberikan aksi yang terbaik nanti," jelasnya.

Jumlah 20 mata yang dikutip sebagai naib juara meletakkan Fariznazreen kini menghuni tangga kedua keseluruhan di belakang Hafiza yang mengumpul 25 mata. Mohd Syafiq (Hyperspeed YAM Honda Racing) di tangga ketiga dengan 16 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Lain