Fakhrusy Sertai ARRC - Sukan | mStar

Fakhrusy Sertai ARRC

Fakhrusy Syakirin Rostam
Fakhrusy Syakirin Rostam

FAKHRUSY Syakirin Rostam memulakan langkah baru dalam kariernya apabila pelumba muda tersebut diumumkan bakal menyertai Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 21 April ini.

Naib juara kategori WIRA Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 itu akan bersaing di dalam kategori Underbone 115cc mewakili pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Turut mewakili pasukan tersebut adalah juara Underbone 115cc 2009, Mohd Affendi Rosli dan pelumba muda Jepun, Kazuki Masaki.

“Mengambil bahagian di dalam perlumbaan Underbone 115cc ini bagai mimpi jadi kenyataan.

"Bukan mudah untuk pelumba muda seperti saya diserap ke dalam antara pasukan terbaik di Malaysia.

"Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SCK Racing, terutamanya pengurus pasukan, Soong Chee Kieong kerana memberikan peluang dan kepercayaan untuk membuktikan kebolehan saya,” ujar Fakhrusy.

Walaupun yakin mampu memberi saingan pada perlumbaan pembuka musim minggu hadapan, Fakhrusy tidak mahu terlalu yakin kerana terdapat ramai pelumba berbakat dan mempunyai lebih banyak pengalaman.

“Misi mencari kejayaan di dalam Kejuaraan ARRC ini amat sukar sekali kerana terdapat ramai pelumba berkebolehan tinggi.

"Walau bagaimanapun saya tidak tertekan kerana ini hanyalah tahun pertama saya beraksi di dalam kejuaraan ini dan fokus saya hanyalah untuk mencari pengalaman dan menunjukkan peningkatan pada setiap pusingan,” jelas pelumba kelahiran Johor ini.

Sementara itu, pengurus pasuka, Soong Chee Kieong menjelaskan mengapa dia memilih Fakhrusy untuk menyertai SCK Racing tahun ini.

“Fakhrusy merupakan seorang pelumba yang berbakat besar dan meletakkan dia di dalam Kejuaraan yang mempunyai tahap persaingan yang amat tinggi boleh membawa impak positif terhadap kariernya.

"Tambahan pula, kami memilih Fakhrusy untuk mewakili pasukan ini kerana dia salah seorang pelumba yang amat konsisten di atas trek dan sangat berdisiplin,” ujar Soong. Kemasukan dan parkir Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang adalah percuma.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

GP China: Alonso Tawan Litar Shanghai

Artikel Berkaitan

default image

ARRC: Azlan Kejar Podium

default image

Fakhrusy Sertai ARRC

Artikel Lain